top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

55-66-77-82 : Harimau Selatan Puas Ratah Gergasi Merah


Johor Darul Ta’zim terus mengukuhkan cengkaman apabila mudah menewaskan Selangor 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium MBPJ.

Separuh masa pertama telah menyaksikan kedua-dua pasukan menerapkan taktikal yang berhati-hati dan hanya sesekali melancarkan serangan ke arah gol pihak lawan.


Benteng pertahanan Selangor yang diketuai oleh Yazan Al Arab, Shahrul Nazeem dan juga Fazly Mazlan serta Ahmad Zikri Khalili nampak terlalu sibuk mengekang asakan pasukan pelawat bagi memastikan pintu gol mereka terus kebal.


JDT juga memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke 16 namun rembatan kencang Forestieri tersasar. Malah, penjaga gol tuan rumah iaitu Khairul Azhan juga cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada Diogo.


Beberapa minit kemudian, Faisal Halim nyaris mencatat nama sebagai penjaring gol tetapi malangnya, rembatannya hanya singgah ke dakapan penjaga gawang pelawat, Syihan Hazmi.


Kedua-dua pasukan terus buntu dalam mencari jaringan gol pembukaan sekaligus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-0.



Masa rehat separuh masa pertama telah dipergunakan sepenuhnya oleh Esteban Solari untuk menyuntik motivasi kepada anak buah beliau serta merencanakan strategi serangan baru.


Juan Muniz Gallego berjaya memecah kebuntuan perlawanan apabila tenang menyudahkan hantaran Forestieri pada minit ke 55 permainan.


Berselang 11 minit, sedikit ruang dan kelekaan yang diberikan oleh barisan pertahanan Red Giant telah dihukum oleh Diogo Luis Santo dengan melakukan satu tendangan leret kaki kiri untuk gol kedua pelawat.


Harimau Selatan terus berpesta gol apabila pemain import mereka kelahiran Argentina, Fernando Forestieri mempamerkan bisa yang ada pada kakinya apabila berjaya menewaskan Khairul Azhan sebanyak dua kali pada minit ke 77 dan juga minit ke 82.


Nyata dengan keputusan ini, Sang Gergasi Merah telah mengecewakan hampir 14’462 penyokong setia mereka yang telah hadir ke Stadium MBPJ dengan memenuhi segenap ruang bagi memberikan sokongan.



Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan memastikan JDT terus gah di takhta liga dengan 15 mata dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 5 perlawanan.

0 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page