top of page
Writer's pictureEditor

ACL2: SELANGOR FC CIPTA KEJUTAN TUMBANGKAN JEONBUK


SELANGOR FC melakar kejutan apabila berjaya menumbangkan kelab dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.


Separuh masa pertama menyaksikan skuad Gergasi Merah lebih agresif mengasak kubu Jeonbuk dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi kapten, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-30.


Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma Yohandry Orozco yang menemui Umarbek Eshmurodov sebelum dia menghantar kepada Harith untuk disudahkan dengan baik oleh pemain berusia 22 tahun itu.


Selangor terus garang apabila menambah gol dua minit berselang kali ini menerusi Ali Olwan yang cemerlang menyudahkan hantaran Noaa Laine.


Bagaimanapun, Jeonbuk berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-40 menerusi tandukan Kwon Chang-hoon untuk menewaskan Muhammad Azim Al Amin di gawang gol Selangor.


Bersambung separuh masa kedua, Selangor hampir mendapat gol ketiga namun percubaan Nikola Jambor hanya menggegar palang gol Jeonbuk pada minit ke-49.


Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu meraih tiga mata berharga berdepan pasukan terkuat dalam saingan Kumpulan H.


Kemenangan itu meletakkan Selangor di kedudukan teratas kumpulan dengan tujuh mata dibezakan satu mata dengan Jeonbuk di kedudukan kedua. Sumber Artikel Sinar Harian

0 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page