ACLE: BURIRAM UNITED TAMATKAN PERJALANAN JDT DI PENTAS ASIA
- Editor
- Mar 12
- 1 min read

Johor Darul Ta'zim (JDT) tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila tewas 0-1 kepada kelab Thailand, Buriram United, dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam tadi.
Jaringan tunggal daripada bintang muda Thailand, Suphanat Mueanta, dalam babak kedua sudah cukup untuk memberikan kemaraan buat Buriram selepas terikat tanpa jaringan di Arena Chang minggu lalu.
Sebelum itu, Bergson Da Silva terlebih dahulu memberikan kejutan apabila berjaya meletakkan bola ke dalam gawang namun gol tersebut tidak dikira apabila beliau didapati offside apabila semakan VAR dibuat.
Peluang terbesar JDT hadir pada minit ke-28, pintu gol Buriram United telah terbuka luas namun percubaan dari Afiq Fazail dinafikan oleh tiang gol sebelah kanan Neil Etheridge.

Pada separuh masa kedua, Penyerang Buriram, Suphanat Mueanta memanfaatkan satu peluang keemasan yang beliau miliki dengan melakukan satu lencongan yang menewaskan Andoni Zubiaurre pada minit ke-59 perlawanan.
Permainan tampak lebih sengit dengan Harimau Selatan menambah kelajuan jentera serangan dengan memasukkan Heberty Fenandes dan mengeluarkan Afiq Fazail.
Pada masa kecederaan, penyerang gantian, Jorge Obregon berjaya menjaringkan gol namun ianya telah dikesan ofside oleh pembantu pengadil.
Ternyata gol Suphanat Mueanta telah menjadi pemisah pada “Seteru Asia Tenggara” ini dan membolehkan skuad “Istana Guruh” itu lolos ke peringkat Suku Akhir ACL Elite 2024-2025.
Ia sekali gus menyaksikan JDT terpaksa akur perjalanan mereka tamat dalam pusingan 16.
Commentaires