top of page
Writer's pictureEditor

ACLE: GOL ARIF AIMAN PINTAS CR7, BANTU JDT RAIH BONUS RM400.000


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menunjukkan kelas berbeza apabila tidak mempunyai masalah menewaskan Shanghai Shenhua FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menang 3-0 ke atas kelab China itu pada Selasa.


Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim dekat Iskandar Puteri, Johor, pasukan dengan jolokan Harimau Selatan itu meraih kemenangan menerusi jaringan gol dari Arif Aiman Hanapi, Jorge Obregon dan Juan Muniz.

Kemenangan di laman sendiri itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio melonjak ke tangga kedua Zon Timur selepas mengumpul empat mata di belakang pendahulu kelab Liga 1 Korea, Gwangju FC yang mengutip enam mata.


Usaha Harimau Selatan memalukan skuad yang bergelar The Flower of Shanghai itu dibayar dengan pulangan lumayan apabila difahamkan pasukan Selatan tanah air tersebut meraih kira-kira USD100,000 atau lebih RM400,000.



Setiap kemenangan JDT di saingan tertinggi Asia itu difahamkan akan mendapat wang penghargaan lebih RM400,000, nilainya jauh lebih tinggi dibandingkan dengan saingan ACL musim lalu yang hanya mendapat kira-kira RM200,000 jika meraih tiga mata.


Selain wang lumayan sebagai tanda penghargaan itu, tonggak utama Harimau Selatan iaitu Arif Aiman juga mencipta rekod peribadi apabila jumlah jaringannya kini dalam saingan ACLE melepasi rekod bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.


Setakat dua perlawanan ACLE yang sudah diharungi juara bertahan Liga Super itu, pemain muda berusia 22 tahun itu sudah meledak tiga gol dengan dua jaringan dicetak ketika seri 2-2 menentang wakil China, Shanghai Port.


Manakala, Ronaldo pula sekadar mencetak satu jaringan gol sahaja setakat ini iaitu ketika pasukannya, Al-Nassr meraih kemenangan 2-1 ke atas kelab Qatar, Al-Rayyan SC pada 30 September lalu.

Sumbangan Arif Aiman dalam aksi menentang Shanghai Shenhua FC melayakkan dia dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan sekali gus mendapat gelaran itu untuk dua perlawanan ACLE.


Selepas ini, khidmat Arif Aiman pasti akan lebih diawasi oleh pasukan lain dengan seterusnya menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya bertemu wakil Republik Korea, Gwangju FC pada 22 Oktober di tempat lawan. — Majoriti

2 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page