ACLE: JDT TAMATKAN PUSINGAN LIGA SELAKU KELAB KETIGA TERBAIK ASIA TIMUR
- Editor
- Feb 20
- 1 min read

Johor Darul Ta'zim (JDT) menamatkan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selaku pasukan ketiga terbaik Liga Bahagian Timur.
Dengan pengunduran Shandong Taishan, kemenangan pasukan lain ke atas kelab dari China itu terbatal serta-merta, termasuk kekalahan 0-1 JDT kepada kelab itu pada 26 November lalu.
Ia sekali gus menyaksikan Harimau Selatan menamatkan saingan Kumpulan B itu di tangga ketiga dengan 14 mata daripada tujuh perlawanan hasil empat kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.
JDT membuka kempen dengan terikat 2-2 di laman Shanghai Port sebelum menewaskan Shanghai Shenhua 3-0 di Stadium Sultan Ismail (SSI), Iskandar Puteri.
Mereka kemudian tewas 1-3 di laman kelab Korea Selatan, Gwangju, sebelum menewaskan satu lagi wakil negara itu, Ulsan HD, di laman sendiri.
JDT kemudian terikat 1-1 dengan seteru ASEAN, Buriram United, di SSI dalam aksi pada 3 Disember lalu sebelum mencatatkan kemenangan 2-1 di laman kelab Australia, Central Coast Mariners.
Harimau Selatan menamatkan saingan liga dengan kemenangan bergaya 5-2 ke atas Pohang Steelers kelmarin, yang sekali gus melayakkan mereka ke pusingan 16 edisi perdana kejohanan tertinggi peringkat Asia berkenaan.
Dengan menduduki tempat ketiga Kumpulan B, JDT akan kembali bertemu Buriram bagi dua perlawanan penentuan ke suku akhir bulan depan. Sumber Artikel Stadium Astro
Comments