JOHOR Darul Ta'zim (JDT) memberikan saingan baik apabila mereka turun menentang Shandong Taishan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada Selasa walaupun tewas 0-1.
Bermain dalam cuaca sejuk melampau di China, JDT bagaimana pun memberikan saingan sengit hingga berjaya mendahului menerusi gol Jorge Obregon tetapi dibatalkan kerana ofsaid.
Ia membuatkan keputusan 0-0 kekal buat 45 minit pertama antara kedua-dua kelab.
Skrip sama dapat dilihat pada separuh masa kedua dengan JDT terus menyerang untuk mendapatkan gol. Hector Bidoglio kemudiannya mengeluarkan Obregon dan memasukkan Bergson da Silva untuk mendapatkan gol.
Namun begitu, serangan demi serangan JDT tidak membuahkan hasil apabila pertahanan Shandong berjaya menghalang segala percubaan Harimau Selatan.
Ketika asyik menyerang, JDT memboloskan gol pada minit ke-68 selepas jaringan Zeca menjadi pemisah antara kedua-dua kelab sekali gus memberikan tiga mata buat Shandong.
Persembahan baik JDT itu bagaimana pun tidak dapat menyorokkan kekecewaan penyokong Harimau Selatan mengenai persembahan Obregon.
Hal ini kerana, impaknya jelas begitu rendah ketika perlawanan dengan barisan serangan dilihat tidak berfungsi begitu baik walaupun ada Arif Aiman dan Juan Muniz yang membantu.
Penyokong jelas kecewa dengan mereka beranggapan JDT seolah-olah beraksi dengan 10 pemain di atas padang.
"Macam main 10 orang," kata penyokong bernama Faizal Riza.
"Dah 20 minit barulah Obregon dapat pegang bola, teruk betul," ujar Iskandar Sulaiman.
"Nak dapat bola pun susah, boleh main kesebelasan utama ya? Bertabahlah main 10 orang," komen Ikhwan Ismail. — Majoriti
Comments