JOHOR Darul Ta'zim (JDT) melepaskan peluang untuk meraih kemenangan di tempat sendiri bertemu Buriram United apabila sekadar seri 0-0 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada Selasa.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu menyaksikan JDT bermain dengan sembilan pemain selepas Murillo Henrique dan Park Park Jun-heong diperintah keluar padang pada awal separuh masa pertama dan penghujung separuh masa kedua.
Aksi melibatkan dua kelab Asia Tenggara itu juga menyaksikan pemain Buriram, Theerathon Bunmanthan dibuang padang selepas 'mencabul' Arif Aiman sebelum rehat separuh masa.
Keputusan seri itu jelas mengecewakan penyokong JDT yang mengharapkan kemenangan di laman sendiri. Disebabkan keputusan itu, peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya ACLE mengecil apabila tergelincir ke tangga keenam dalam carta liga zon Timur.
Bagi pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim jelas kecewa dengan persembahan para pemainnya dengan beranggapan skuadnya melakukan "kesilapan bodoh" di tempat sendiri.
Pemilik JDT itu mengambil tanggungjawab di atas keputusan tersebut sekali gus Harimau Selatan melepaskan peluang mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.
"Tidak bernasib baikk. Hanya memerhatikan bola, kesilapan bodoh. Satu mata, nasib baik tak kalah.
"Apa-apa pun, saya ambil tanggungjawab sepenuhnya dan saya pun kenal pasti apa yang perlu saya, jurulatih (Hector Bidoglio) dan kelab buat untuk memperbaik pasukan ini.
"Terima kasih tak terhingga atas sokongan anda semua, saya amat menghargainya," tulis TMJ di laman Instagram.
JDT mempunyai dua baki aksi fasa liga ACLE yang perlu dihabiskan dengan berdepan Central Coast Mariners (Australia) dan Pohang Steelers (Korea Selatan) dengan kedua-dua perlawanan itu akan diadakan pada 2025. — Majoriti
Commentaires