top of page
Writer's pictureSaluddin Ismail

Aksi Persahabatan Harimau Malaya Mungkin 'Bertukar Angin'



Perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya yang dijangka berlangsung pada Jun ini kemungkinan besar akan 'bertukar angin' apabila bakal diadakan di negeri pantai timur atau utara tanah air.


Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, perlawanan persahabatan membabitkan Yaman dan Kepulauan Solomon sebagai lawan terbaru anak buah Kim Pan-gon kemungkinan akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu atau Stadium Darul Aman, Alor Setar.



Noor Azman berkata, Kepulauan Solomon menduduki kedudukan ke-136 dunia manakala Yaman pula tangga ke-154 dunia menjadi lawan seterusnya buat skuad Harimau Malaya dalam usaha memperbaiki kedudukan ranking antarabangsa.

"Kita mahu meneruskan momentum kemenangan Harimau Malaya dalam usaha mempersiapkan pasukan dalam mengharungi Piala Asia kelak.


"Berkaitan lokasi, mungkin diadakan di beberapa lokasi di luar Lembah Klang namun tidak menolak kemungkinan akan sekali lagi berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.


"Ada juga cadangan mahu diadakan di Sabah atau Sarawak namun segalanya akan ditentukan kelak," katanya, ketika ditemui media.


Sebelum ini, media melaporkan FAM kemungkinan membuat kelainan untuk aksi persahabatan skuad kebangsaan tahun ini dengan mengadakan perlawanan di luar Lembah Klang.


Ini bermakna penyokong skuad Harimau Malaya yang berada di luar Lembah Klang tidak perlu menempuh perjalanan jauh dan boleh menyaksikan pasukan kesayangan mereka di venue yang akan ditetapkan nanti.


Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya akan beraksi sekurang-kurangnya lapan perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini dalam tempoh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa). Sumber Harian Metro

2 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page