top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

Astro, MFL jalin kerjasama lestari jenama bola sepak tempatan.

Astro dan Malaysian Football League (MFL) hari ini secara rasminya mengumumkan kolaborasi selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 sebagai penyiar rasmi untuk semua pertandingan Liga Malaysia meliputi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.


Kerjasama yang terjalin itu akan bermula dengan aksi pembuka tirai, Perlawanan Sumbangsih, pada 24 Februari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata: “Kami teruja dipilih sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai ‘hub sukan’ untuk peminat sukan negara.

“Kami sentiasa mengiktiraf kepentingan sukan dalam pembangunan negara dan dengan itu, Astro dan MFL komited meningkatkan taraf liputan liga bola sepak tempatan melalui siaran langsung, perkembangan di sebalik tabir, sesi latihan pemain dan jurulatih serta membawakan berita terkini untuk sajian khas buat semua peminat negara.


“Nantikan perkembangan mengenai liputan kami mengenai siaran langsung perlawanan, on-demand serta kandungan program-program yang lain,” katanya.


Tambah Euan, kehadiran Liga Malaysia akan merancakkan lagi tawaran sukan tempatan di Astro selain menjadi destinasi sukan antarabangsa, termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Europa (UEL), La Liga, Jelajah Dunia BWF, MotoGP, NBA, UFC, WWE, PGA dan Jelajah ATP.


Astro sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan sukan tempatan dan atlet negara melalui saluran Astro Arena HD, yang telah dilancarkan pada 2010 lalu.

Selain mengikut rapat perkembangan jaguh negara di pentas antarabangsa, Astro Arena HD juga menyediakan platform untuk bekas-bekas atlet membina karier dalam industri sukan.


Astro Arena HD menjadi destinasi untuk peminat tempatan mendapatkan berita sukan terkini sementara Astro Arena2 HD pula menyediakan kandungan sukan antarabangsa dengan sajian dan persembahan yang lebih tempatan kepada peminat di Malaysia.


Melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan sukan negara, Astro berjaya mengembalikan kemasyhuran sukan tempatan melalui harta intelek dengan menyediakan platform untuk atlet tempatan bersaing dalam liga kompetitif seperti Liga Sepaktakraw (STL), Netball Super League (NSL) dan Sooka Super Series: Volleyball (SSSVB) yang berjaya mengubah landskap sukan tempatan.


Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan Astro, berkata: “Kami akan memberikan konotasi yang lebih bermakna dalam liputan bola sepak Malaysia dengan memberikan liputan komprehensif dalam HD dan turut boleh distrim melalui Astro GO.


“Selain itu, Astro akan membawakan variasi persembahan dan penyampaian ulasan serta analisis di studio bersama barisan pakar yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam dunia bola sepak.


"Kandungan eksklusif lain, termasuk sorotan perlawanan, sidang media praperlawanan, sesi latihan pemain, akses temu bual pemain serta aktiviti menarik turut akan diadakan bagi memberi peluang dan pengalaman kepada peminat merasai kehangatan Liga Malaysia nanti. Pelanggan Astro juga dapat menikmati ganjaran istimewa lain seperti sesi beramah mesra bersama pemain kegemaran mereka dan jemputan menonton perlawanan pilihan di stadium," katanya.



0 views0 comments

Comentários

Avaliado com 0 de 5 estrelas.
Ainda sem avaliações

Adicione uma avaliação
bottom of page