Kemenangan 2-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super semalam nyata memberikan kepuasan kepada para penyokong yang hadir.
Namun begitu, kemenangan JDT itu turut dihiasi dengan nyalaan suar selepas tamat perlawanan.
Ini bukanlah kali pertama penyokong JDT meraikan kemenangan dengan menyalakan suar kerana sudah beberapa kali mereka melakukannya untuk saingan musim ini. Baru-baru ini, JDT juga disahkan telah didenda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara tindakan penyokong yang menyalakan suar.
Kelab berkenaan baru sahaja dikenakan denda RM120,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga kerana tindakan penyokong mereka membakar suar.
Justeru, tindakan sama yang dilakukan penyokong Harimau Selatan itu seakan mereka tidak serik dengan hukuman yang dikenakan badan induk berkenaan.
Ramai peminat bolasepak mahukan hukuman lebih berat dikenakan ke atas JDT seperti pemotongan mata dan beraksi di stadium kosong. Hukuman ini dilihat mampu 'mengajar' segelintir penyokong yang terus degil melanggar peraturan termasuklah membakar suar di dalam stadium.
Tindakan menyalakan suar adalah melanggar obligasi penganjuran perlawanan dan bertentangan dengan Artikel 70.1 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.
Nyalaan suar sebenarnya bukanlah asing di negara-negara eropah seperti di Itali namun adakah insiden suar sesuai diamalkan di Malaysia?
Mungkin FAM perlu memperhalusi halangan menyalakan suar kerana ianya dinyalakan selepas perlawanan dan atmosfera daripada nyalaan suar itu sangat menarik untuk ditonton.
Sumber Artikel : MakanBola & Berita Harian
Comentarios