top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

Bojan Hodak: Kurang Pengalaman Punca T. Saravanan Kena Kad Merah



KL City terpaksa bekerja keras mempertahankan kemenangan 1-0 ke atas Perak terutama selepas T. Saravanan dibuang padang. Bagi jurulatih City Boys, Bojan Hodak, beliau melihat apa yang berlaku itu berpunca daripada kekurangan pengalaman penyerang skuad B-22 negara itu.


Penyerang muda KL City itu dikenakan kad kuning kedua sekaligus kad merah oleh pengadil selepas membuat terjahan keras ke atas pemain Perak, Ikhwan Hafizo. Di sebalik kesilapan yang dilakukannya, Saravanan melakukan tugas dengan baik di bahagian serangan termasuk membentuk gandingan mantap dengan penyerang import Tchetche Kipre.


“Dia (Saravanan) bermain dengan baik. Saya gembira dia dapat bermain dalam dua perlawanan terakhir (menentang Sabah dan Perak). Dia juga mendapat peluang hebat (menjulang Piala Merlion) sebelum ini, saya gembira untuknya.


“Cuma dia seorang pemain muda dan kurang berpengalaman. Selepas dia mendapat kad kuning, dia tidak sepatutnya melakukan terjahan yang merbahaya itu,” katanya kepada Astro Arena.


Di sebalik kemenangan yang diraih, Bojan bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya. Tetapi bagi jurulatih Croatia itu, yang paling penting ialah tiga mata penuh pada akhir perlawanan.


“Ia bukan persembahan kita yang terbaik. Tetapi (disebabkan) ini perlawanan kedua dalam tempoh lima hari, sesetengah pemain kelihatan penat terutama pada separuh masa kedua. Tetapi yang penting pada akhirnya ialah tiga mata,” tambahnya.

2 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page