Legenda bola sepak Selangor, Azman Adnan mengakui, tiada perkara buruk boleh diperkatakan tentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kecuali menghambur pujian, biarpun kata-katanya dianggap ‘membodek’.
Memenangi semua lapan perlawanan musim ini dengan meledak 36 gol dan hanya bolos sekali meletakkan JDT pada tahap berbeza daripada 13 pasukan lain yang bersaing dalam Liga Super.
Kata Azman, ia sesuatu yang baik apabila Liga Malaysia (Liga M) mempunyai kelab hebat seperti JDT kerana mereka secara automatik akan membangkitkan semangat pasukan lain untuk menjadi yang pertama menumbangkan Harimau Selatan.
“Apabila kita bercakap tentang JDT sebelum ini, ramai cakap kita ‘bodek’, padahal kita cakap perkara betul bahawa Harimau Selatan ketika ini berada pada tahap berbeza dengan pasukan Liga Super lain.
“Mereka mempunyai barisan pemain bintang yang sudah di tahap liga luar.
“Ini perlu diakui, selepas lapan perlawanan mereka berjaya menjaringkan 36 gol. Ini rekod luar biasa dan membuktikan ketajaman mereka di barisan hadapan.
“Apabila kita bercakap tentang JDT, ramai tidak boleh terima…Sebenarnya, ini kenyataan.
“Memang dalam soal fasiliti, semua pasukan kalah kepada JDT, jangan cakap pasal persembahan atas padang, fasiliti pun sukar mahu buat macam JDT.
“Jumlah jaringan yang besar juga membuktikan semua pemain JDT boleh menghasilkan gol, lawan pun tidak tahu mahu mengawal siapa.
“Jumlah terlalu besar, agak-agaklah lapan perlawanan 36 gol,” kata bekas penyerang Harimau Malaya itu kepada Utusan Malaysia.
Harapan yang diletakkan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk memberi cabaran kepada Harimau Selatan hanya tinggal angan-angan selepas skuad kendalian Nafuzi Zain menjadi mangsa terbaharu JDT apabila dibelasah 6-0, Sabtu lalu.
Sebelum ini, harapan turut diletakkan kepada ‘raja’ Lembah Klang, Selangor FC dan Sabah FC untuk memberi tentangan.
Malangnya, kedua-dua pasukan itu juga terkulai apabila dimalukan 4-0.
Sumber : Utusan Malaysia
Commentaires