Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melancarkan jersi baharu mereka untuk musim 2024 dalam satu majlis pelancaran yang turut dimeriahkan dengan kehadiran para penyokong di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April 2024.
Harimau Selatan masih mengekalkan jenama Nike sebagai pengeluar jersi pasukan tersebut.
Jersi baharu JDT musim ini didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi berwarna ‘biru merah’ untuk kit JDT ‘Home’ dan jersi berwarna putih untuk kit ‘Away’. JDT sentiasa komited dalam menampilkan reka bentuk jersi baharu yang Istimewa khas buat para penyokong.
Jersi tuan rumah bagi musim kali ini terus mengekalkan warna tradisi bendera Johor iaitu merah dan biru.
Ia tampil dengan warna biru sebagai warna utama, diselangi jalur berwarna merah di bahagian hadapan dan belakang, serta kolar bulat dan terdapat jalur merah di bahagian hujung lengan.
Sementara jersi ‘Away’ JDT kekal dengan warna putih sebagai warna utama disamping terdapat jalur merah di bahagian lengan dan juga leher jersi.
"Ini adalah tahun kesepuluh kerjasama Nike bersama Harimau Selatan sejak 2014. Jersi ini adalah lambang legasi kejayaan sedekad dominasi serta prestij jenama antara kedua-dua pihak.”, kata Nike.
Tambahan ciri unik yang membezakan dengan jersi terdahulu adalah nama Harimau Selatan di bahagian dalam belakang jersi tersebut.
Jersi baharu pada musim ini juga masih mengekalkan konsep rekaan berteknologi tinggi iaitu ‘Nike Dri-Fit’.
Pengenalan jersi baharu tersebut dilancarkan menerusi sebuah video berdurasi 2 minit 10 saat yang berkisar mengenai pasukan JDT bukan sekadar sebuah kelab bola sepak, namun ia juga sebagai ejen penyatuan rakyat yang berkongsi minat dan rasa cinta yang sama.
Video tersebut turut memberi bayangan bahawa skuad JDT telah bersedia menghadapi musim baru dalam misi memburu kemenangan demi kemenangan.
Platform aplikasi Socios.com yang telah menjalin kerjasama dengan JDT sejak September 2022 akan terus kekal menghiasi ruang tengah bahagian depan jersi tersebut.
Para penyokong boleh mendapatkan jersi tersebut di stor dalam talian JDT (JDT Online Store) ataupun pembelian secara ‘walk-in’ di JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim.
Harga bagi kedua-dua jersi ‘Home’ & ‘Away’ ini boleh didapatkan pada harga RM299 sehelai. Jersi khas untuk para penyokong wanita juga boleh didapatkan dengan harga yang sama. Atas permintaan ramai, pihak Nike telah pun menambah saiz jersi ‘Home’ dan ‘Away’ men sehingga 3XL.
Karnival turut diadakan sempena majlis pelancaran ini dengan beberapa persembahan dari Boys of Straits, Kidd Santhe, Saixe dan juga DJ Naufal.
Comments