top of page
  • Writer's pictureEditor

DEBUT CEMERLANG HAKEEM HAMIDUN SEKAT AMUKAN JDT


Penampilan pertama penjaga gol PDRM, Hakeem Hamidun dalam kancah Liga Super Malaysia mendapat pujian ramai peminat bola sepak tempatan.


Beliau buktikan kemampuan sebenar apabila diberi kepercayaan oleh pengendali PDRM, Azzmi Aziz untuk turun dalam kesebelasan utama pasukan menentang pendahulu Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim.


Pada babak pertama perlawanan, Hakeem bertindak cemerlang mengawal kubu Sang Saka Biru daripada dibolosi. Beberapa percubaan tepat menerusi penyerang sensasi JDT, Bergson Da Silva, Leandro Velazquez dan Fernando Forestieri berjaya dihalang dengan sangat baik.


Hakeem turut mengagalkan hasrat Bergson Da Silva untuk mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-44 permainan apabila beliau menangkap kemas sepakan penalti yang diambil Bergson. Penalti tersebut merupakan penalti pertama yang gagal menatijahkan gol buat JDT musim ini.



Pemenang pingat Emas Sukma 2022 ini memastikan gawangnya terus kebal sehinggalah pada minit ke-60 permainan, pemain import JDT, Fernando Forestieri memecah kebuntuan. Penjaring terbanyak Liga Super ini memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan PDRM sekaligus memaksa Hakeem Hamidun untuk akur dibolosi dengan satu jaringan.


Jika dilihat berdasarkan statistik perlawanan, walaupun The Cops tewas, Hakeem Hamidun mencatat statistik yang cemerlang. Daripada 9 percubaan tepat yang direkodkan JDT, Hakeem berjaya melakukan sebanyak 8 penyelamatan.


Penjaga gol berusia 21 tahun ini juga diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.


“Mungkin bukan rezeki kami untuk menang. Tapi alhamdulilah, ini perlawanan pertama saya dengan doa dari kedua ibu bapa saya. Saya akan buat yang lebih baik untuk aksi akan datang,” ujar Hakeem ketika ditemu bual Karl Nunis, Astro Arena.


Walaupun skuad kendalian Azzmi Aziz tewas kepada JDT namun aksi terbaik yang ditampilkan Sang Saka Biru ini menjadikan PDRM pasukan pertama yang hanya bolos 1 gol berdepan JDT.


PDRM akan meneruskan saingan kempen Liga Super 2023 bertemu KL City pada 27 April. Aksi LS10 tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur. Sumber Info : MakanBola

1 view0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page