Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman kini muncul antara pemain tempatan termahal dalam saingan Liga Malaysia apabila nilainya di pasaran telah melambung.
Menerusi kemaskini di laman sesawang transfermarkt.com, nilai pasaran pemain yang berusia 21 tahun itu telah meningkat daripada RM638,000 sehingga mencecah RM2.3 juta.
Peningkatan pola nilai pasaran pemain itu dalam tempoh dua tahun adalah berdasarkan prestasi cemerlang ketika saingan Liga Super dan juga bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdulla meramalkan nilai Arif Aiman Hanapi boleh mencapai sehingga lebih RM7.5 juta dalam tempoh lima tahun lagi.
“Secara dasarnya, peningkatan nilai pasaran ini bergantung kepada prestasinya, pasukan yang diwakilinya serta persembahan bersama pasukan kebangsaan.
“Jika dilihat sekarang, dia memang berada pada pasukan yang tepat untuk terus berkembang dan ada kemungkinan nilainya mampu terus meningkat, sekurang-kurangnya 1.5 juta euro walaupun kekal dalam liga tempatan.
“Kita harus ingat dia masih lagi muda dan banyak lagi peningkatan yang boleh ditunjukkan. Dia pun dengan pasukan yang bagus, cemerlang dalam liga dan beraksi di pentas tertinggi Liga Juara-Juara Asia.
“Dia juga berada di bawah bimbingan individu yang baik (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), jadi dia boleh pergi jauh. Pembangunan bakat di JDT dijalankan dengan serius oleh pengurusan diterajui Tunku Ismail, jadi memang dia berpotensi besar,” katanya dipetik dalam Berita Harian.
Berdasarkan rekod, Arif Aiman telah menjaringkan 6 gol serta 10 bantuan gol dalam 15 perlawanan Liga Super musim ini. Secara keseluruhan, beliau telah menjaringkan 20 gol dalam 84 penampilan bersama JDT.
Selain Arif Aiman, turut memegang status pemain tempatan termahal berdasarkan kemaskini transfermarkt.com ialah Matt Davies (RM2 juta), Faisal Halim (RM1.9 juta), La Vere Corbin Ong (RM1.8 juta) dan Afiq Fazail (RM1.6 juta).
Comments