top of page
Writer's pictureSaluddin Ismail

FIFA Berpotensi Jatuhkan Hukuman Berat Kepada Indonesia


Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam mengejutkan peminat bola sepak Asia apabila memutuskan untuk membatalkan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 Tahun.


Keputusan itu terpaksa dibuat selepas meneliti beberapa faktor hasil perjumpaan antara Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.


Malah, Indonesia juga mungkin berdepan hukuman daripada FIFA seperti sekatan beraksi di peringkat antarabangsa untuk beberapa tahun sekaligus bakal menjejaskan kedudukan ranking mereka.


FIFA menyatakan Indonesia berpotensi mendapatkan hukuman berat kerana tidak memenuhi tanggungjawab sebagai tuan rumah pertandingan anjuran badan induk dunia itu.



“Tuan rumah baharu akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan tarikh kejohanan pada masa ini kekal tidak berubah. Potensi sekatan terhadap PSSI juga mungkin diputuskan pada perbincangan peringkat seterusnya.


“Ahli daripada FIFA akan terus hadir di Indonesia dalam beberapa bulan akan datang dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada PSSI, di bawah pimpinan Presiden Thohir,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan FIFA.


Sebelum ini, mereka bertindak membatalkan undian rasmi yang sepatutnya berlangsung pada hari jumaat ini, 31 Mac 2023 di Bali.



Hal ini kerana Gabenor Bali dan beberapa badan bukan kerajaan di Indonesia (NGO) membantah kehadiran skuad kebangsaan Israel dalam saingan Piala Dunia B-20 yang bermula pada 20 Mei hingga 11 Jun ini.


Lebih merumitkan, Iraq juga tidak mahu diundi satu kumpulan bersama Israel sebagai tanda solidariti untuk Palestin.


Qatar juga dilaporkan sudah bersedia untuk menggantikan tempat Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20. Negara itu dipilih berdasarkan pengalaman mereka menganjurkan Piala Dunia 2022 pada tahun lepas.


Dengan status Qatar sebagai tuan rumah, skuad Indonesia kendalian Shin Tae-yong mungkin tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Dunia B-20 kerana tempat mereka telah digantikan oleh pasukan Qatar B-20.


Selain Qatar, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) juga sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20. Skuad Argentina B-20 gagal layak ke Piala Dunia selepas tersingkir awal daripada peringkat kumpulan saingan Copa America B-20 tahun lepas.

2 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page