HARIMAU Malaya menamatkan penantian 17 tahun untuk menjuarai Pestabola Merdeka apabila mengatasi Lubnan dalam perlawanan akhir berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.
Gol Romel Morales pada minit ke-33 memberikan kelebihan buat skuad kebangsaan yang beraksi dengan cemerlang meskipun Pau Marti Vicente membuat rombakan terhadap kesebelasan utama.
Kemasukan beberapa pemain seperti Syafiq Ahmad dan Dominic Tan jelas membawa perubahan apabila skuad kebangsaan beraksi lebih rancak jika hendak dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini menentang Filipina.
Bagaimanapun, keadaan padang di venue perlawanan jelas sukar diterima penyokong yang berasakan mutunya tidak memuaskan meskipun pelbagai usaha sudah dibuat untuk memperbaikinya.
Masalah itu segera dilupakan penyokong apabila masing-masing jelas berpuas hati dengan persembahan pasukan yang melancarkan beberapa siri serangan sepanjang 45 minit pertama.
Tetapi, tempo sedikit berbeza disaksikan pada babak kedua apabila pasukan pelawat dapat membaca pergerakan anak-anak buah Pau Marti dengan melakukan beberapa pintasan terhadap hantaran dibuat.
Selain itu, Lubnan juga kelihatan lebih agresif dalam melakukan hadangan, terutamanya setelah Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid dibawa masuk bagi menggantikan Syafiq serta Safawi Rasid.
Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila pemain mereka, Khalil Khamis dibuang padang setelah menerima dua kad kuning akibat bentesan kasar dilakukannya.
Tetapi, kelebihan seorang pemain itu gagal diterjemahkan dengan Harimau Malaya terus memastikan gol Romel Morales sudah cukup bagi memastikan kemenangan milik mereka.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan pada edisi lalu selepas skuad kebangsaan tewas di perlawanan akhir kepada Tajikistan dalam aksi yang diadakan di venue yang sama.
Malah, kemenangan ke atas Lubnan tersebut juga menamatkan penantian negara untuk menumpaskan lawan dari Timur Tengah dengan kali terakhir mereka berbuat demikian adalah pada 2013 ketika bertemu Yaman.
Kali terakhir skuad kebangsaan bertemu mana-mana negara dari rantau tersebut adalah ketika berdepan Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan mereka tewas 0-2.
Selepas ini, pasukan bimbingan Pau Marti itu akan berdepan New Zealand dalam satu aksi persahabatan dengan momentum kemenangan pasti mahu diteruskan sehingga kempen Piala AFF pada hujung tahun ini. — Majoriti
Comments