“PASUKAN kami tidak berdepan tekanan untuk final kali ini,”
Itu reaksi pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak ketika mengulas aksi final Piala FA 2023 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.
Menurutnya, kelebihan itu akan dimanfaatkan sebaiknya pada aksi final berkenaan bagi mengejutkan skuad Harimau Selatan.
Malah katanya, skuad The City Boys akan memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan dalam usaha menghasilkan keputusan yang positif.
“JDT ketika ini adalah pasukan terbaik yang kita saksikan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka bukan sahaja dibarisi pemain import yang berkualiti, malah dipenuhi pemain tempatan yang bagus.
“Lagipun, ramai menjangkakan JDT adalah calon pilihan untuk memenangi Piala FA kali ini dan ini membuatkan tidak ada tekanan bagi kami.
“Cuma saya mengharapkan pemain dapat beraksi dengan baik dan sedikit ‘tuah’ berpihak kepada kami untuk mengejutkan JDT nanti... lagi pun, JDT pastinya ada kelebihan kerana mereka kerap bermain di padang ini banding pasukan lawan dan sebab itu jika tanya saya, tidak adil bagi kami untuk beraksi di SSI dan bukannya di gelanggang berkecuali,” katanya.
Bojan berkata demikian pada sidang media sempena final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat. Sumber Artikel Sinar Harian
Comentarios