top of page
  • Writer's pictureMohammad Amirul Haqimi

HARIMAU MALAYA BAGAI DI RASUK, RATAH PAPUA NEW GUINEA 10 KOSONG


Paulo Josue dan Arif Aiman Hanapi meledak hatrik ketika membantu Malaysia menewaskan Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam tadi.


Kemasukan Arif Aiman dan Faisal Halim di babak kedua jelas mengubah ketajaman Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon apabila sembilan gol dijaringkan dalam tempoh 45 minit.


Malaysia bermula baik dengan deretan percubaan dilakukan sebaik sepak mula, namun ketangkasan penjaga gol Papua New Guinea, Ronald Warisan, memastikan kedudukan seimbang menghampiri waktu rehat.


Sepakan penalti yang diambil Safawi meletakkan Harimau Malaya mendahului 1-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.


Bersambung babak kedua, Pan-gon memasukkan tiga tenaga baharu, Faisal Halim, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Daniel Ting bagi menggantikan Safawi, Akhyar dan Corbin Ong.


Percaturan itu ternyata menjadi apabila gerakan skuad kebangsaan lebih tersusun, hasilnya pada minit ke-52, Paulo Josue meledak jaringan kedua untuk mendahului 2-0.


Lima minit berselang, Arif Aiman bijak memanfaatkan peluang terhidang dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol apabila menjaringkan gol ketiga Harimau Malaya.


Pemain Harimau Malaya bagaikan 'dirasuk' apabila Faisal menjaringkan gol keempat hanya seminit selepas jaringan ketiga.


Gol kelima dihasilkan pada minit ke-59 menerusi Arif Aiman yang juga jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan itu.


Pesta jaringan skuad kebangsaan berterusan apabila Josue menjaringkan gol keenam dan kedua peribadinya pada minit ke-64 untuk mendahului 6-0.


Pada minit ke-70, Josue mencipta hatrik yang juga gol ketujuh negara sebelum Danial Ting menambah gol kelapan pada minit ke-76.


Penyerang paling muda, Arif Aiman menambah derita pelawat apabila meledak jaringan kesembilan dan ke-10 Harimau Malaya pada minit ke-86 dan 88, sekali gus menutup malam gemilang skuad kebangsaan dengan kemenangan besar 10-0.

6 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page