HAZIQ NAZLI: CEMERLANG DI BENTENG AKHIR, MENAFIKAN DERETAN CUBAAN TEPAT
- Editor
- Feb 25
- 2 min read

Kekalahan 0-2 kepada juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), tetap diberi pujian tertinggi oleh ketua jurulatih, Yusri Che Lah, terhadap Perak kerana menampilkan prestasi cemerlang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
Strategi bertahan ternyata efektif di separuh masa pertama yang menyaksikan Sang Seladang berjaya mengekang asakan bertubi-tubi skuad tuan rumah sebelum tampanan Jese Rodriguez memberi jaringan pertama JDT.
Jorge Obregon bertindak menyempurnakan malam gemilang skuad Harimau Selatan apabila menyumbat masuk gol menerusi penalti pada minit ke-64.
Di sebalik kekecewaan itu, satu perkara yang jelas terbukti positif ialah kredibiliti penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli, yang kerap melakukan penyelamatan penting termasuk menerima pujian peminat tempatan.
Sehari sebelum perlawanan, Perak menerima tonik tambahan dalam usaha dan percubaan menangguh pesta kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila penjaga gol utama, Haziq Nadzli, mendapat lampu hijau diturunkan bertemu bekas pasukannya itu.
Mengakui kehebatan Haziq Nazli, ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah menzahirkan rasa lega apabila Haziq bertindak cemerlang menyelamatkan 8 cubaan on target ketika temubual selepas perlawanan.

”(Perihal Haziq Nadzli) ini panjang kalau nak cerita, jadi saya rasa dia boleh beraksi itu maknanya pihak JDT memberi izin untuk saya menurunkan dia,” kata Yusri Che Lah.
”Jadi selebihnya itu, saya rasa lebih baik rahsialah,” tambah pengendali itu lagi yang tidak mahu memberi ulasan lanjut.
Ketika ditanya mengenai status terkini Haziq bersama Perak, Yusri sambil tertawa sinis masih tidak mahu membuka mulut dan hanya memaklumkan mengenai keizinan oleh pihak JDT.

”Saya tak boleh nak menyatakan perkara yang sepatutnya tapi apa yang pasti kami (Perak FC) diberi kebenaran bagi menurunkan beliau pada perlawanan ini.”
"Saya lega kerana hanya tewas 0-2. Haziq menunjukkan prestasi luar biasa, dan tanpa dia, mungkin kami dibolosi lebih banyak,” tambahnya.
Comments