Berbaki empat lagi perlawanan Liga Super, Kelantan FC tampak berpeluang mencipta rekod bolos dengan tiga angka bagi semusim untuk musim ini.
Selepas 22 perlawanan setakat ini, skuad bimbingan Angel Alfredo Vera sudah melepaskan 95 gol dan hanya lima jaringan lagi bakal menyaksikan mereka dibolosi 100 gol hanya dalam 26 aksi.
Berdasarkan prestasi semasa, mungkin lebih daripada 100 gol dijangka dilepaskan The Red Warriors (TRW) kerana mereka bakal berdepan Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, PDRM FC dan Kelantan United.
Angka 95 gol yang dilepaskan itu disebabkan mereka beberapa kali dibelasah pasukan lawan antaranya Selangor FC 2-11, Terengganu FC (0-8) dan (0-5) selain Johor Darul Ta'zim dengan kekalahan 1-5 dan 0-5.
Selain itu, Sabah FC membelasah mereka 6-1, KDA FC (5-0), Sri Pahang FC (5-0) dan juga KL City FC (5-0) selain kekalahan terbaharu 8-0 di tangan Perak FC.
Jika dinilai secara keseluruhan dalam tiga pertandingan, Kelantan FC sudahpun 'bocor' sebanyak 114 gol membabitkan 95 gol di Liga Super dan empat gol di Piala FA.
Lebih menyedihkan, mereka bolos 15 gol dalam saingan Piala Malaysia hanya dalam dua perlawanan pusingan 16 pasukan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi kekalahan 1-5 dan 0-10.
Jumlah itu sebenarnya sudah mengatasi rekod PDRM FC yang melepaskan 97 gol secara keseluruhan dalam semua pertandingan sepanjang musim 2009.
Memegang rekod sebanyak pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super dengan 75 gol, PDRM FC turut melepaskan 10 gol dalam saingan Piala FA dan 12 gol dalam Piala Malaysia.
Sebagai perbandingan, rekod bolos terbanyak di Liga Perdana Inggeris (EPL) dipegang Swindon Town dengan 100 gol pada 1993/94 namun saingan ketika itu berlangsung dalam 42 perlawanan.
Bagi musim dengan 38 perlawanan, Derby memegang rekod bolos terbanyak dengan 89 gol yang dicatat pada musim 2007/08.
Rekod La Liga pula dipegang Lleida yang dibolosi 134 gol yang dilakukan mereka pada musim 1950/51. Sumber Artikel Berita Harian Online
Comments