top of page
  • Writer's pictureHafizudin Mohd Safar

Kelantan Peroleh Kemenangan Sulung di Kota Bharu



Pasukan The Red Warriors Kelantan FC (TRW) berjaya meraih 3 mata sulung selepas menumpaskan pasukan Penang FC (PFC) 2-0 dalam saingan ketiga Liga Super 2023 (LS2023) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini semalam.



Pasukan The Red Warrior yang dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Choi Moon Sik dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan separuh masa pertama meraih gol sulung hasil rembatan penyerang import, Ismaheel Akinade.


Penyerang berasal dari Nigeria yang mengenakan jersi bernombor 24 itu menewaskan penjaga gol PFC, Shafiq Afifi Suhaimi pada minit ke-23.


Penjaga gol kelahiran Ipoh itu sekali lagi tewas buat kali kedua selepas pemain tengah tuan rumah, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman menambah jarinagn tuan rumah pada minit ke 37 separuh masa pertama.


Pasukan Harimau Kumbang kendalian Ketua Jurulatih Yee Fatt Chong dilihat hampir menguasai dan mengatur serangan bertubi-tubi sepanjang separuh masa kedua dengan beberapa percubaan tepat namun berjaya ditampan penjaga gol TWR, Nik Mohd Amin Ahmad. Kelantan FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Christian Mangaron Rontini diarah meninggalkan perlawanan kerana mengutip kad kuning kedua akibat mengasari Hassan Saad pada minit-66.



Seminit berselang, giliran Penang FC beraksi 10 pemain apabila Hassan Saad menerima layangan kad merah kerana menyiku kapten tuan rumah, Mario Arques Blasco.


Pasukan pelawat terpaksa akur dengan kekalahan kerana tidak berupaya menjaringkan sebarang gol walaupun perlawanan yang diadili Ketua Pengadil Zulkarnain Zakaria diberikan enam minit masa tambahan ketika separuh masa kedua.


Dengan kemenangan itu, pasukan TRW berjaya melonjak dari kedudukan tercorot liga ke tangga ke-7 walau hanya mengumpul 3 mata setakat ini, sementara PFC yang kekal dengan 2 mata berada di tangga ke-10, selepas kedua-dua pasukan mengharungi tiga perlawanan.


Kelantan akan bertandang ke Johor Bahru untuk menentang pasukan Harimau Selatan pada perlawanan ke empat Liga Super yang dijadualkan pada 11 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada jam 5.30 petang.

4 views0 comments

Komentarze

Oceniono na 0 z 5 gwiazdek.
Nie ma jeszcze ocen

Oceń
bottom of page