top of page
  • Writer's pictureMohammad Amirul Haqimi

Ketua jurulatih Terengganu FC memberi bayangan akan menyisihkan dua penyerang import


Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner memberi bayangan akan menyisihkan dua penyerang import mereka, Adisak Kraisorn dan juga Ivan Mamut.


Situasi ini diakui jurulatihnya, Tomislav Steinbrukner yang melihat kegagalan penggempur gandingan pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn dan pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut menyebabkan pasukannya gagal merakam kemenangan dalam tiga perlawanan lepas.


Kedua-dua pemain ini merupakan penyerang baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kali ini bagi menggantikan peranan Kpah Sherman dan juga Tchetche Kipre yang berhijrah ke pasukan lain.


Terengganu yang beraksi di pentas Asia musim ini jelas bergelut untuk menjaringkan gol apabila Adisak dan juga Mamut masih tidak mendapat sentuhan yang diharapkan.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Croatia ini tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan peranan pemain lain untuk mengambil alih posisi pada bahagian serangan.


Tomislav juga mengakui perlu berfikir tentang peranan seorang lagi penyerang import, Jordan Mintah yang masih belum membuat penampilan bersama Terengganu dalam skuad utama.


“Saya perlu berfikir tentang Jordan (Mintah) dengan serius kerana Adidak dan Ivan Mamut masih tidak menjaringkan gol.”


“Adisak melepaskan beberapa peluang tetapi kadang kala ini baik untuk pemain kerana berjaya meletakkan diri dalam posisi penciptaan peluang,” jelasnya.


“Tiga perlawanan tanpa sebarang jaringan sudah tentu ianya bermasalah dan kami begitu terkesan, sasaran setiap pasukan sudah pasti untuk menjaringkan gol, tanpa jaringan kita tidak boleh untuk mengutip tiga mata.


“Namun saya perlu melihat ke hadapan bagi mengatasi masalah ini terutama berdepan dengan PDRM nanti, kami mempunyai Jordan Mintah selain mengharapkan pemain tengah, Habib Haroon cergas dan bersedia diturunkan untuk memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang KL City FC pada hari sabtu minggu lepas yang berakhir dengan keputusan 0-0.


Dalam perlawanan itu, sekurang-kurangnya lima peluang terhidang yang dimiliki Mamut dan Adisak gagal diterjemahkan dengan jaringan sekali gus membuatkan lebih 11,500 peminat yang hadir kecewa selepas dua aksi terdahulu berakhir dengan kekalahan 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).


Ketika ditanya adakah kekurangan latihan selain belum serasi menyebabkan jentera serangannya tumpul, Steinbrukner menjelaskan latihan sentiasa diadakan bagi memantapkan lagi pasukan.


Tomislav mengakui, ketumpulan penyudah yang serius terus menghantui naib juara Piala FA musim lalu, Terengganu FC (TFC) selepas gagal meledak sebarang jaringan dalam tiga perlawanan awal.


Lebih parah, skuad Penyu yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim lalu, kini menghuni di kedudukan tercorot liga dengan berkongsi satu mata bersama Kelantan United FC (KUFC) yang berada di tangga ke-13.


Bagaimanapun jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya berazam untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebelum berdepan dengan PDRM FC pada hujung minggu ini.



53 views0 comments

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page