top of page
Writer's pictureEditor

LIGA SUPER: ARIF DAN TOMMY BAKAL DI KENAKAN TINDAKAN OLEH FAM


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden perbalahan yang berlaku di antara pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.


"Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.


"Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.


"Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Sivasundaram turut menasihatkan para pemain supaya dapat mengawal emosi ketika di atas padang kerana apa juga tindakan mereka itu hanya akan mendatangkan masalah kepada diri sendiri jika dikenakan tindakan atau hukuman.


"Secara peribadi, saya melihat ia satu insiden yang serius apabila berlaku tindakan menumbuk dan juga mencekik yang dilakukan oleh kedua-dua pemain tersebut ketika insiden berkenaan.


"Apa pun kita akan tunggu laporan daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil bagi mengambil tindakan lanjut," jelas beliau.

Memetik laporan media tempatan, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kedua-dua pemain itu sepatutnya dilayangkan kad merah susulan pergaduhan yang tercetus antara mereka.


Selain insiden membabitkan Arif Aiman, pemangku Sultan Johor itu juga berpandangan Perak sepatutnya diberikan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan pertahanan, Feroz Baharudin ke atas bek Seladang, Clayton Silveira pada minit ke-37.

Sebelum ini, berlaku insiden tegang berkenaan melibatkan Arif Aiman dan Tommy apabila pemain sayap kanan JDT itu dikesan seakan-akan menghalakan tangannya ke arah muka Tommy.


Bagaimanapun, sama seperti Tommy, pengadil hanya menghadiahkan kad kuning kepada Arif Aiman.


Selain situasi tegang itu, penyokong Perak juga mempertikaikan mutu pengadilan apabila Razlan Joffri tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada Perak selepas kekasaran yang dilakukan Feroz Baharudin ke atas pemain Perak pada minit ke-40.

Sedangkan, Razlan Joffri menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT selepas VAR mengesan kekasaran dilakukan pertahanan Perak FC, Jesper Nyholm ke atas Bergson pada penghujung babak pertama. — Majoriti

16 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page