top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

Liga Super: Gol Masa Kecederaan Lonjakkan Sri Pahang Ke Tangga Ketiga



Sri Pahang melonjak ke kedudukan tiga teratas Liga Super buat pertama kali musim ini, setelah menewaskan Kelantan United 1-0 di Stadium Darul Makmur pada Isnin.



Ketika perlawanan seakan sudah pasti akan berakhir dengan keputusan seri, tandukan Stefano Brundo pada masa kecederaan menghadiahkan skuad Fandi Ahmad kemenangan keempat musim ini.


Mereka melonjak ke tangga ketiga dengan 16 mata, mengatasi Kedah Darul Aman menerusi beza jaringan manakala Kelantan United yang mengalami kekalahan keenam, kekal menghuni tangga tercorot.


Dalam perlawanan di hadapan kira-kira 2,000 penyokong, turun dengan prestasi yang tidak berapa bagus sejak kebelakangan ini, tidak menghalang Kelantan United untuk memberi tentangan sengit kepada Sri Pahang.


Malah pasukan pelawat bimbingan Nazrulerwan Makmor boleh dikatakan pasukan lebih baik di separuh masa pertama dengan mencipta beberapa momen dan gerakan berbahaya ke dalam kotak penalti.


Satu-satunya peluang terbaik Sri Pahang dalam 45 minit yang pertama adalah pada minit-17 menerusi tandukan kencang Kpah Sherman yang diselamatkan Ilham Amirullah, dan percubaan susulan dilakukan Lucas Rodriguez pula sedikit tersasar.

Di babak kedua, tuan rumah lebih agresif mencari ruang memecahkan kebuntuan, namun sukar menembusi keutuhan pertahanan Kelantan United.


Dengan Kelantan United seperti sudah menetapkan mindset mahu pulang dengan keputusan seri, Sri Pahang tampil dengan dominasi penuh di babak kedua, namun walaupun tidak putus asa mencuba, gol yang dicari tidak kunjung tiba.


Sehinggalah pada masa kecederaan, Brundo muncul wira dengan menjaringkan gol kelima peribadinya musim ini. Sumber Artikel : MakanBola

1 view0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page