Jaringan hatrik Arif Aiman Mohd Hanapi memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.
Pemain sayap sensasi itu tidak perlu menunggu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila meledak gawang pelawat seawal minit ke-12 menerusi rembatan dari luar kotak penalti sebelum menggandakan jaringan seterusnya pada minit ke-36.
Pada minit ke-42, bola terkena tangan Brendan Gan di dalam kotak penalti sekali gus membolehkan Arif Aiman mengambil sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dilakukan pengadil Fitri Maskon.
Arif Aiman mudah menyempurnakan jaringan itu untuk meletakkan skuad Harimau Selatan di kedudukan yang selesa.
Skuad kendalian Miroslav Kuljanac mempunyai peluang untuk memecah kebuntuan pada minit ke-61 menerusi percubaan Patrick Alcala Reichelt, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tangkas menyelamatkan jaringan tersebut.
Sepakan jarak jauh Juan Muniz Gallego untuk mencetak gol keempat Harimau Selatan juga berjaya dinafikan penjaga gol KL City FC, Muhammad Azri AB Ghani pada minit kecederaan.
Keputusan kekal 3-0 sehingga tiupan wisel penamat.
-- BERNAMA
Commentaires