top of page
  • Writer's pictureEditor

LIGA SUPER: JARINGAN TUNGGAL AYRON DEL VALLE SELAMATKAN SELANGOR FC


Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 mengatasi Sabah FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.


Skuad kendalian Tan Cheng Hoe tampil dengan meyakinkan apabila menguasai hampir keseluruhan babak pertama menerusi serangan berbahaya bertali arus ke kubu lawan.


Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk mencari gol pembukaan apabila gerakan menarik ditampilkan Faisal Halim dan Richmond Boakye berjaya disudahi Ayron Del Valle untuk kedudukan 1-0.



Gol pertama tadi jelas meniup semangat skuad Gergasi Merah untuk melancarkan serangan bahaya dengan Del Valle sekali lagi hampir menggegarkan gawang pasukan pelawat pada minit 43 namun sepakannya terkena palang sekali gus melegakan kem Sabah.


Memasuki babak kedua menyaksikan skuad kendalian Ong Kim Swee mengubah taktikal dengan kerap melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.


Namun, barisan serangan Sabah yang diketuai Darren Lok boleh dikatakan serba tidak kena apabila gagal menemui sekurang-kurangnya gol penyamaan.


Selangor pula yang sekali sekala melancarkan gerakan merbahaya turut hampir menambah gol pada lewat permainan namun tiga kali sepakan pemain mereka terkena palang sekali gus keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.


Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan 40 mata manakala Sabah pula berada di tempat kelima selepas mengutip 33 mata.

3 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page