Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengukuhkan kedudukan mereka di tempat ketiga liga selepas berjaya mencuri tiga mata dengan menewaskan tuan rumah Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 1-0.
Perlawanan yang dimainkan di Stadium KLFA itu menyaksikan pasukan Kedah bermula dengan agresif selepas melancarkan beberapa serangan merbahaya ke kubu KL City.
Ifedayo Olusegun hampir meletakkan Kedah di hadapan pada minit ke-15 melalui percubaan jarak dekat namun sedikit tersasar.
KL City dilihat gagal mengancam kubu Kedah dengan mereka lebih memfokuskan untuk bertahan.
Kedah akhirnya berada di hadapan pada waktu kecederaan melalui sepakan penalti Ifedayo. Penalti dihadiahkan selepas Fadzrul Danel dikasari di kotak penalti. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, KL City membawa masuk ayam tambatan mereka, Paulo Josue dalam usaha mereka mencari gol penyamaan.
Namun kehadiran Josue dilihat tidak banyak membantu KL City dalam melancarkan serangan dengan pasukan Kedah terus menekan kubu KL City yang dikawal oleh Giancarlo Gallifuoco.
Ifedayo hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-58 namun rembatan pemain import Nigeria itu terkena tiang dan susulan percubaan dari Akmal Zahir sedikit tersasar.
KL City mula mengasak ke kubu Kedah selepas Romel Morales dibawa masuk.
Beberapa gerak serangan KL City telah dilancarkan terutamanya melalui hantaran silang mencari Romel Morales. Namun benteng Kedah sangat berdisiplin dalam mematahkan serangan pihak lawan.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus Kedah berjaya mengutip tiga mata penuh dari Stadium KLFA.
Dengan kemenangan itu, Kedah mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 47 mata. Ketinggalan 5 mata daripada pasukan di tangga kedua, Selangor FC. Manakala KL City kekal di tangga ke-7 liga dengan 31 mata. Sumber Artikel MakanBola
Comments