Masih banyak yang perlu dilakukan KL City FC menjelang aksi final Piala FA 2023 selepas mereka terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang semalam.
Meskipun tuan rumah berjaya mendahului dan hampir membawa pulang tiga mata namun kealpaan minit akhir menjadi punca skuad bimbingan Bojan Hodak kempunan meraih mata penuh.
Keputusan itu juga menyaksikan mereka gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat aksi terakhir dan mereka jelas perlu memperbaiki kelemahan sebelum berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu depan.
Aksi hambar diperagakan kedua dua pasukan di awal permainan menyaksikan tiada percubaan yang benar-benar mengancam berjaya dilakukan kedua-dua pasukan sepanjang 20 minit pertama.
NSFC melepaskan peluang untuk membuka jaringan apabila tiada pemain mereka dapat menampan hantaran lintang Mahali Jasuli yang sekadar melintasi mulut gol KL City FC pada minit ke-22.
Kebuntuan jaringan dipecahkan tuan rumah pada minit ke-39 apabila Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tertewas dengan tandukan Romel Morales yang menyudahkan hantaran lintang Zhafri Yahya.
Penyudah lemah T Saravanan yang mudah ditangkap Sikh Izhan di penghujung babak pertama menyaksikan KL City FC menuju ke bilik persalinan hanya dengan kelebihan satu gol.
Bersambung babak kedua, NSFC beroleh peluang menerusi sepakan percuma pada sudut yang baik pada minit ke-55 namun tendangan Tommy Mawat Bada gagal membuahkan hasil.
Selepas itu NSFC mensia-siakan beberapa peluang untuk mendapatkan gol penuyamaan namun jaringan Zainal Abidin Jamil membolehkan pelawat mencuri satu mata di minit akhir perlawanan.
Sumber : Berita Harian Online
Comments