KUALA Lumpur (KL) City FC berpesta gol menewaskan Sabah FC dengan keputusan 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras di ibu kota dalam aksi bagi saingan Liga Super pada Khamis.
Perlawanan yang bermula agak perlahan itu menyaksikan pasukan The City Boys cuba untuk melakukan beberapa percubaan ke arah gawang gol The Rhinos namun ia berhasil diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Bukan sekadar The City Boys, pasukan pelawat juga tidak membuang masa untuk mencipta beberapa peluang namun tidak diterjemahkan dengan baik oleh barisan pemain hadapan The Rhinos.
Di penghujung babak pertama, pengadil perlawanan iaitu Suhaizi Shukri memutuskan untuk melayangkan kad merah kepada Rawilson Batuil selepas tangan bek tengah The Rhinos itu dilihat menyentuh bola.
Berkat pengalaman bertahun-tahun Khairul Fahmi Che Mat, penjaga gol Sabah itu berhasil menyelamatkan air muka pasukan pelawat apabila menyelamatkan penalti dari Paulo Josue yang dihadiahkan dari pegawai perlawanan.
Tidak sampai lima minit meraihkan kecekapan Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek, Ko Kwang-min menjadi duri dalam daging Sabah dengan mencetak jaringan ke gawang sendiri.
Kesilapan dari pemain pertahanan kelahiran Korea Selatan itu meninggalkan Apek terkaku, sekali gus terpaksa menerima The City Boys mendahului dengan keputusan 1-0 di laman sendiri pada separuh masa pertama.
Insiden kekasaran berlaku lagi pada babak kedua apabila tolakan Dominic Tan terhadap Paolo membuka peluang untuk pengadil memberi sepakan percuma kepada anak-anak buah Miroslav Kuljanac.
Situasi bola mati pada minit ke-60 memberi peluang buat Paulo menebus sepakan penaltinya pada separuh masa pertama apabila pemain naturalisasi Malaysia itu meledak gol ke-67 peribadinya untuk KL City.
Jaringan menerusi sepakan percuma itu meletakkan Josue sebaris dengan legenda Kuala Lumpur, Fandi Ahmad yang sebelum ini memegang sejarah sebagai penjaring terbanyak untuk pasukan Lembah Klang berkenaan. — Majoriti
Comments