KDA FC melayan kunjungan Kelantan United bagi perlawanan Liga Super ke 17 di Stadium Darul Aman malam tadi. Skuad Sang Kenari mudah menundukkan Kelantan United dengan jaringan 3-1.
Dua gol jaringan Ifedayo dilihat memberi sinar harapan baru buat skuad Sang Kenari selepas mendaftarkan pemain itu pada jendela perpindahan kedua bulan ini menggantikan William Lira.
Magis persembahan dari Ifedayo adalah sesuatu yang dicari-cari oleh pasukan Kedah selepas William Lira dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Ketua Jurulatih Kedah Nafuzi Zain. Selain itu, kemasukan Moses Atede di barisan tengah turut memberi nafas berbeza kepada Kedah.
Bagi pengendali Kedah darul Aman FC, Nafuzi Zain berpuas hati dengan peningkatan prestasi ditunjukkan dua tonggak import baharu skuad Sang Kenari iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede dalam dua perlawanan setakat ini.
Malah dua pemain import baharu itu membuktikan sentuhan mereka dalam membantu kemenangan 3-1 Kedah keatas Kelantan United FC pada perlawanan Liga Super ke-17 di Stadium Darul Aman malam tadi.
Menurut Nafuzi, dua gol yang dihasilkan oleh Ifedayo malam tadi termasuk satu gol ketika menentang PDRM FC pada 9 Julai lalu memperlihatkan perkembangan yang cukup positif sementara Moses Atede pula berjaya memainkan peranannya sebagai pemain tengah bertahan yang efektif.
"Ifedayo agak lama tidak beraksi dalam perlawanan pada tahap kompetitif sebelum ini, jadi dengan jumlah tiga gol dalam dua perlawanan ini saya rasa itu persiapan yang baik untuk seorang penyerang sepertinya.
"Prestasinya jika berada pada tahap kecergasan terbaik, kita tahu dia mampu lakukan lebih dari ini dan saya harap keadaan dan perkembangan ini akan terus meningkat.
"Begitu juga Moses memperlihatkan aksi lebih baik pada perlawanan ini berbanding yang lalu dan tugasnya adalah untuk memberi keseimbangan antara posisi serangan dan pertahanan," katanya.
.
Comments