top of page
  • Writer's pictureEditor

LIGA SUPER: SELANGOR MANDI PELUH SEBELUM TEWASKAN KEDAH


Aksi ke-12 saingan Liga Super melibatkan pertembungan antara pasukan Selangor menentang Kedah Darul Aman. Perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya menyaksikan Selangor berjaya menewaskan Kedah dengan keputusan 3-2.



Selangor dibawah kendalian Tan Cheng Hoe tampil dengan barisan terkuat demi meraih kemenangan kesembilan sementara skuad Sang Kenari pula dalam usaha mencari kemenangan kelapan bagi saingan Liga Super musim ini.


Seawal minit kelima permainan, Kedah membuka akaun jaringan menerusi Amirbek Juraboez. Pemain import itu tenang melepaskan percubaan sekaligus menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.


Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor tampil memperkemaskan asakan daripada bahagian sayap kiri dan kanan. Pada minit ke-22 permainan, pengadil perlawanan telah memberi sepakan penalti buat pasukan tuan rumah setelah mengesan kekasaran dilakukan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al Hafiz.


Ayron Del Valle pada awalnya gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan baik apabila rembatannya ditepis Kalamullah. Namun bola muntah daripada tangkapan Kalamullah telah dimanfaatkan Ayron untuk mencetak gol.


Pada minit ke-27 permainan, penyerang import Kedah, Willian Lira mencatat nama sebagai penjaring. Gelecekan bertenaga Lira yang berjaya melepasi dua pertahanan Selangor disudahkan dengan satu rembatan menemui jaring.


Sebelum tamat babak pertama perlawanan, Faisal Abdul Halim memberikan kelegaan buat para penyokong Selangor. Faisal mencetak gol keenam peribadinya musim ini, memastikan aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan Selangor 2-2 KDA.

Aksi separuh masa kedua bermula dengan skuad Merah Kuning menggandakan asakan demi mencari gol tambahan. Selangor tampak lebih garang sebaik sahaja tiupan wisel separuh masa kedua bermula.


Perlawanan semakin hangat pada minit ke-74 permainan apabila serangan yang dilakukan Kedah dipatahkan Selangor di kawasan kotak penalti, bagaimanapun pengadil perlawanan tidak memberi sepakan penalti kepada anak buah Nafuzi Zain.

Serangan balas yang dilakukan Selangor telah memaksa pertahanan Kedah, Kamil Akmal melakukan terjahan terhadap Mukhairi Ajmal, sekaligus kad merah terus dilayangkan pengadil perlawanan.


Keputusan ini telah mencetuskan kemarahan ramai dalam kalangan penyokong pasukan Kedah dan menghangatkan lagi keadaan semasa di Kelana Jaya.

Sepakan percuma yang diambil Selangor telah menyebabkan keadaan kucar kacir di kawasan kotak penalti pasukan Kedah. Keadaan tersebut telah dimanfaatkan pemain gantian, Noor Al Rawabdeh untuk meledak. Kemasukan Rawabdeh membuahkan hasil apabila beliau berjaya meletakkan Selangor mendahului 3-2 dihadapan.

Pada babak masa kecederaan, penyerang import Kedah, Jonathon Balotelli miliki peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, bagaimanapun rembatan Balotelli itu sedikit tersasar.


Tujuh minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, Selangor mencatat kemenangan mengatasi Kedah dengan keputusan 3-2.


Aksi seterusnya menyaksikan pasukan Selangor bakal berkunjung ke Stadium Paroi bertemu Negeri Sembilan untuk saingan suku akhir Piala FA sebelum berdepan PDRM dalam saingan Liga Super pada 3 Jun kelak. Kedah Darul Aman pula akan bertemu Sabah di laman sendiri pada Jumaat, 2 Jun 2023.


Sumber Info MakanBola

0 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page