top of page
Writer's pictureEditor

LIGA SUPER : SOLARI AKUI BUKAN MUDAH KALAHKAN SRI PAHANG


Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui Sri Pahang bukan lawan yang mudah walaupun mereka berjaya mencatat kemenangan 2-0 ketika aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam.


Dalam perlawanan itu, JDT terpaksa bekerja keras dan menghadapi sedikit kesukaran untuk membuat umpanan kepada rangkaian penyerang berbisa seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman.



“Apa yang berlaku sepanjang babak pertama, kita boleh jaringkan gol dan ada kekasaran terhadap pemain yang membolehkan kita mendapat sepakan penalti tapi ianya serba tidak menjadi malah mereka tidak berputus asa dan terus menyerang untuk cipta gol.


“Pada babak kedua, kami menguasai permainan dan terus memberi tekanan dengan corak berintensiti tinggi dengan melakukan serangan di posisi sayap kiri dan kanan namun tindakan Pahang bermain secara kompak di posisi tengah menjejaskan kelancaran umpanan bola pendek,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.


Bekas penolong jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu turut menegaskan kekentalan benteng skuad Tok Gajah yang dibarisi pemain tinggi menyukarkan pemainnya menanduk bola.


Pada minit ke 45, Stadium Sultan Ibrahim akhirnya bergema dengan sorakan penyokong apabila Bergson menolak masuk hantaran Forestieri untuk jaringan pembukaan.



JDT juga terpaksa menunggu hingga minit ke 73 untuk Forestieri menambah gol kedua menerusi rembatan lencong cantik yang mudah menewaskan penjaga gol tok gajah, Zarif Irfan.



Keputusan itu menyaksikan rekod tanpa kalah Sri Pahang dalam saingan Liga Super akhirnya lebur dan kekal berada di tangga ketiga dengan 25 mata.


Sri Pahang juga beraksi tanpa tiga tonggak utama, Azam (Azih), Sergio (Aguero) dan Lucas (Silva) yang mengalami kecederaan selain Syazwan (Andik), Ahmad Tarmizi (Roslan) dan Azrif (Nasrulhaq) kerana mereka pemain pinjaman dari JDT.

0 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page