Sabah FC membelasah Sri Pahang FC 4 - 0 dalam aksi Liga Super yang menyaksikan tuan rumah tampil lebih bertenaga dan mendominasi permainan di Stadium Likas malam ini.
Kejayaan tanpa bolos skuad Sang Badak itu sekali gus menepati misi Sabah untuk tidak memberi ruang kepada Pahang selaku pasukan tiga teratas liga ketika ini.
Lebih manis, jaringan besar Sabah malam ini dicapai ketika penampilan terakhir kaptennya, Baddrol Bakhtiar yang diturunkan pada minit ke-79 menggantikan Park Taesu.
Baddrol sebelum ini diumumkan tidak lagi bersama Sabah FC selepas perlawanan malam ini dan dikhabarkan bakal menukar gelanggang ke bidang politik.
Empat gol tuan rumah, masing-masing dua dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua dengan dua gol disumbangkan Darren Lok pada minit kelapan dan ke-64.
Dua gol lagi masing-masing dijaringkan oleh Ramon pada minit ke-42 dan Stuart Wilkin pada minit ke-68.
Secara keseluruhan, Sabah berjaya menguasai sepanjang permainan malam ini menerusi pergerakan yang lebih teratur dan bertenaga berbanding penampilan mereka dalam perlawanan sebelum ini.
Walaupun terpaksa berdepan pertahanan lawan yang sentiasa berhati-hati, skuad Sang Badak jelas dapat bermain dengan baik dan tidak memberi ruang kepada pemain Pahang untuk mengawal bola agak lama.
Ia membuatkan pasukan pelawat agak tertekan dan jarang mendapat peluang melakukan serangan balas, sebaliknya lebih banyak berada di kawasan sendiri bagi menghalang kemaraan Sabah.
Penampilan Sabah malam ini juga nampak lebih tersusun dengan hantaran antara pemain yang lebih tepat dan sukar dipintas pemain Pahang.
Hasilnya Sabah berjaya mendapat dua gol pada separuh masa pertama sebelum kembali mengatur pergerakan pada babak kedua hingga akhirnya dapat menambah dua lagi gol tanpa balas.
Ketika awal babak kedua, Pahang cuba mendapatkan semula rentak dan melakukan serangan sejurus sepak mula, namun Sabah masih berjaya menghalang cubaan demi cubaan pasukan pelawat itu.
Malah, pemain Sang Badak berjaya mengatur serangan balas selepas Pahang mendapat tiga sepakan sudut pada minit ke-61, 63 dan 64 yang akhirnya dapat disudahkan kepada jaringan oleh Darren pada minit ke-65.
Sekali lagi pada minit ke-68, Sabah berjaya mengatur satu lagi serangan balas yang berhasil mendapat gol keempat oleh Stuart selepas Pahang mendapat sepakan percuma yang berbahaya kepada Sabah.
Keputusan 4 - 0 yang memihak kepada Sabah itu gagal digugat Sri Pahang hingga wisel penamat sekali gus membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh malam ini. Sumber Artikel Harian Metro
Comments