top of page
  • Writer's pictureMohammad Amirul Haqimi

LIGA SUPER : TERENGGANU FC GAGAL MEMANFAATKAN PELUANG BERMAIN DI LAMAN SENDIRI

Terengganu FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri selepas tumpas 1-2 kepada pasukan tetangga, Sri Pahang FC pada aksi ke-10 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat Gong Badak, malam tadi.


Kekalahan itu menghantar skuad kendalian Tomislav Steinbruckner ke tangga kelapan liga dengan mengutip 13 mata manakala skuad Tok Gajah kendalian jurulatih kelahiran Singapura, Fandi Ahmad naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan 22 mata sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.


Pada perlawanan itu, skuad pelawat terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah melalui tandukan Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri hasil hantaran Baqiuddin Shamsuddin pada minit kelima yang tersasar di atas palang gol sekali gus terselamat pintu gol yang dikawal Suhaimi Husin.


TFC yang mengintai kemenangan kelima mendapat peluang terbaik pada minit ke-12 untuk mendahului menerusi penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut hasil sepakan percuma Hakimi Abdullah, namun tandukannya dapat dibaca penjaga gol pelawat kelahiran Marang, Mohd Izham Tarmizi Roslan.


Pada minit ke-21, pelawat sekali lagi mendapat peluang terbaik untuk mendapat gol pertama sekali lagi menerusi Muhamad Zuhair Aizat hasil lorongan Kpah Sherman, tapi Suhaimi bertindak cemerlang menghalang percubaan pemain tengah itu.


Memasuki minit ke-30, pintu gol skuad Penyu akhirnya bocor hasil jaringan bekas penyerang import TFC musim lalu, Sherman yang mudah menolak masuk bola berpunca sepakan percuma Stefano Brundo yang sebelum itu gagal dikeluarkan pertahanan TFC selepas bola muntah daripada penjaga gol untuk skuad Tok Gajah mendahului 1-0.


Tersentak jaringan itu, Steinbruckner yang menurunkan tiga penyerang importnya yang diketuai Jordan Mintah, Mamut dan Adisak Kraisorn menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan.


Hasilnya pada minit ke-39, berpunca hantaran Adisak, Mamut yang tidak dikawal bijak membaca gerakan itu sebelum merembat deras dalam kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan selepas berakhir babak pertama.


Ketika tuan rumah kerap mengasak pada babak kedua, 'arkitek' pelawat, Muhamad Nor Azam Azih mencuri tumpuan apabila sepakan derasnya dari luar kotak penalti pada minit ke-68 menerjah jaring sebelah kiri pintu gol untuk pasukannya mendahului 2-1 dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Mohd Nafeez Wahab.


Sumber Info : Berita Harian

10 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page