Ketua jurulatih pasukan Perak, Datuk Lim Teong Kim berang dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya ketika tewas kepada Penang dalam aksi saingan Liga Super 2023.
Perak tewas dengan keputusan 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya dan Teong Kim menganggap pemain beraksi sambil lewa dalam perlawanan tersebut.
“Perak separuh masa pertama mengarut. Saya kata mereka bermain dengan teruk. Mereka mungkin masih tidur ketika itu. Pada masa kedua, kami tukar semua pemain dan permainan berubah,” kata Datuk Lim Teong Kim.
Dua pemain import pasukan, Sunday Kolawole dan Luciano Guaycochea yang baru pulih dari kecederaan terpaksa diturunkan oleh Teong Kim ekoran tidak cukup pemain dan kini pasukan itu menanggung akibatnya setelah kedua-dua pemain mengalami kecederaan.
“Kita simpan mereka kerana mereka baru sembuh dan mengharapkan supaya mereka tidak cedera. Tetapi kita tiada pemain dan terpaksa menggunakan mereka dan sekarang (semalam) mereka sudah cedera,” tambahnya.
Hassan Ali ‘Soony’ Saad hanya memerlukan enam minit untuk menggembirakan para penyokong tuan rumah apabila larian derasnya menuju ke kawasan penalti Perak susulan hantaran cantik Nik Akif Syahiran Nik Mat disempurnakan dengan baik untuk meletakkan Penang di hadapan.
Jaringan kedua Penang terhasil pada minit ke-37 apabila Nik Akif yang merampas bola di kawasan lawan terus menuju ke pintu gol lalu berjaya menewaskan Bryan.
Perak mendapatkan jaringan pada minit ke-71 selepas Seo Seonung mudah menolak masuk bola setelah menerima hantaran Hadi.
Ketika Perak cuba untuk bangkit, Giovane Gomes da Silva mematikan api perjuangan pasukan lawan dengan jaringan ketiga menerusi tandukan pada minit ke-83 sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1 buat Penang.
Kemenangan penting yang dilakarkan itu meletakkan Penang kini ditangga kelapan dengan lima mata apabila sebelum ini mereka mencatatkan dua keputusan seri dan tiga kekalahan.
Comments