Mohamed Salah meluahkan kegembiraannya apabila melakar rekod istimewa bersama Liverpool ketika membelasah Manchester United 7-0, sebentar tadi.
Bintang Mesir itu menyumbangkan dua gol dalam kemenangan bergaya itu untuk merekodkan 129 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) buat The Reds, sekali gus mengatasi rekod yang dipegang oleh Robbie Fowler.
Selepas mengharungi pengalaman yang mengecewakan bersama Chelsea sebelum cemerlang di Itali bersama Roma, tidak ramai yang menjangka Salah akan mencipta impak seperti sekarang, tetapi penyerang itu bertekad mencipta sejarah sebaik menjejakkan kakinya ke Anfield.
Salah memberitahu Sky Sports: "Ia sangat istimewa, saya tidak boleh berbohong. Rekod ini berada dalam fikiran saya sejak saya mula-mula datang ke mari.
“Dalam fikiran saya, sejak musim pertama lagi saya sentiasa mengejar rekod jadi untuk mencapainya hari ini, apatah lagi ketika menentang United dengan keputusan seperti ini adalah sukar untuk dipercayai.
"Saya akan pulang untuk meraikannya bersama keluarga, teh chamomile dan tidur."
Walaupun mencatat kemenangan terbesar ke atas musuh ketat itu, penggempur tersebut menyeru The Reds agar terus berjuang dari kedudukan kelima -- tiga mata di belakang Tottenham yang menguasai di tangga keempat bagi perebutan kelayakan Liga Juara-Juara.
“Sangat istimewa untuk memenangi perlawanan seperti ini tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu melangkah ke perlawanan seterusnya dengan terlalu yakin,” tambahnya
"Kami hanya perlu merendah diri, beraksi dan memenangi perlawanan. Kami tidak berada di kedudukan yang kami idamkan tetapi semoga ini memberikan dorongan yang baik dan kami boleh terus menang."
Comments