Malaysia bawah 22 tahun (B-22) berjaya menjulang Piala Merlion 2023 selepas menundukkan Hong Kong B-22 dengan keputusan 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura sebentar tadi.
Kemenangan tersebut penting dalam meningkatkan moral skuad kendalian E. Elavarasan itu yang akan menghadapi saingan Sukan SEA di Kemboja pada awal Mei nanti.
Terdapat jurang ketara yang kelihatan melibatkan kedua-dua pasukan apabila para pemain negara mempamerkan aksi cukup tersusun sejak daripada awal permainan.Namun, penyudah tumpul serta kekentalan penjaga gol Hong Kong, Ng Wai Him menggagalkan usaha skuad negara untuk menang dengan defisit jaringan lebih besar.
Adam Farhan Mohd Faizal hampir meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-11 tetapi percubaannya daripada luar kawasan penalti sekadar singgah di palang gol ketika Wai Him sudah pun tertewas.
Berselang 10 minit kemudian menyaksikan Muhammad Haqimi Azim Rosli pula kecewa selepas jaringannya terpaksa dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Percubaan luar kawasan penalti daripada Safwan Mazlan hasil corak permainan pendek berjaya diselamatkan Wai Him pada minit ke-44.
Penguasaan permainan oleh skuad negara diteruskan pada babak kedua dan turut menjelmakan beberapa siri serangan berbahaya ke arah pintu gol lawan.
Haqimi Azim sekali lagi hampa ketika permainan memasuki minit ke-58 selepas jaringannya dibatalkan kerana Najmudin Akmal yang melakukan hantaran lintang pula berada dalam kedudukan ofsaid.
Jaringan yang dinantikan kem negara akhirnya hadir pada minit ke-74 apabila Najmudin Akmal menyudahkan peluang dengan menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Haqimi Azim untuk membuka tirai jaringan.
Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan pemain muda negara lalu menambah jaringan kedua berselang empat minit kemudian menerusi Safwan Mazlan.
Jaringan tersebut berpunca daripada rembatan jarak jauh Safwan yang mengelirukan Wai Him untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kem Malaysia B-22 tergamam seketika pada minit ke-80 selepas kesilapan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dalam cubaannya melakukan sepakan membolehkan Lau Ka Kiu mudah menolak masuk bola bagi merapatkan jurang gol.
Ketika aksi semakin hampir untuk ditamatkan, situasi tegang dapat disaksikan sehingga Haqimi Azim dan Kong Maddox dilayangkan kad merah.
Namun, kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kejuaraan pertama buat skuad negara yang menyaksikan kejohanan jemputan ini sudah memasuki edisi kesembilan.
Comments