top of page
Writer's pictureEditor

MASA BERSAMA JDT TELAH BERAKHIR, DIOGO PILIH UNTUK BERSARA


PENYERANG import Johor Darul Takzim (JDT), Diogo Luis Santo telah mengumumkan yang dia bersara daripada bola sepak.


Pemain dari Brazil itu mengumumkan persaraannya di laman Instagram selepas dia dikhabarkan menjadi beberapa nama disingkirkan daripada Harimau Selatan.



Meskipun dia dikaitkan akan pulang semula beraksi di Thailand, Diogo mematikan segala spekulasi dengan memilih untuk bersara daripada bola sepak.


Menurut Diogo, ia adalah satu perkara sukar untuk pemain tersebut mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.


"Saya mengambil masa berfikir untuk meluahkan apa yang saya rasa, kerana saya tidak pasti bagaimana hendak meletakkan pelbagai emosi dalam satu teks, atau lebih tepat mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.


"Semangat, dedikasi, adrenalin, kerjasama dan keseronokan bermain sukan ini adalah motivasi saya sejak kecil. Berpeluang menikmati pelbagai pengembaraan menarik walaupun ada masanya mengalami kekecewaan. Pengalaman penuh naik turun, hasil daripada pelbagai kemenangan dan kekalahan," kata Diogo di Instagram.



Diogo begitu menghargai kesemua kelab yang pernah diwakilinya seperti Palmeiras, Santos, Flamengo, Olympiacos dan juga JDT. Malah tidak ketinggalan, kesemua penyokong yang pernah mendukung perjuangan Diogo di atas padang.


"Kepada para penyokong dan pengikut, tanpa kalian semua ini tidak akan terjadi. Terima kasih untuk tenaga, semangat dan dedikasi. Terima kasih kerana bersama-sama saya ketika susah dan senang.


"Terima kasih bola sepak! Saya ucapkan selamat tinggal hari ini sebagai pemain, tapi saya yakin anda akan sentiasa ada dalam hidup saya," ujar Diogo.


Bersama-sama JDT, Diogo melakukan 51 penampilan sambil menghasilkan 25 gol serta 17 bantuan jaringan dalam dua tempoh berbeza dengan kelab.


Di Malaysia, Diogo berjaya memenangi tiga gelaran Liga Super, satu Piala FA, satu Piala Malaysia dan satu Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih).



Selain daripada JDT, kelab Thailand, Buriram United dan BG Pathum United di Thailand merupakan kelab yang pernah diwakili oleh Diogo. — Majoriti

3 views0 comments

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page