Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berharap pasukan kelab dan kerajaan negeri dapat mengambil tawaran yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menukar rumput padang di setiap stadium negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, berkata langkah penukaran rumput tersebut akan memberikan banyak kebaikan, terutama dalam meningkatkan mutu bola sepak negara.
"Kami harap dapat melihat naik taraf rumput ini berjaya. Bukan hanya kerana rumput Zeon Zoysia ini lebih bagus daripada 'cow grass' tetapi juga dari segi tanah, sistem saliran lama yang sudah perlu diganti.
"Padang adalah pentas persembahan dan ia juga dapat memastikan banyak perkara positif seperti mengelakkan kecederaan pemain dan sebagainya.
"Kalau kelab dan kerajaan negeri dapat mengambil keutamaan untuk menukar rumput ini, maka ia sesuatu yang bagus," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman penajaan di antara MFL dan jenama minyak masak, Alif, di Petaling Jaya hari ini.
Sebelum ini, KBS melalui menterinya, Hannah Yeoh, menawarkan peruntukan untuk menukar rumput Zeon Zoysia di setiap stadium negeri.
Namun, terdapat beberapa negeri dan kelab yang tidak bersetuju untuk menukar rumput berkenaan kerana risau akan berdepan kos penyelenggaraan yang tinggi.
Menurut Stuart, dia menyedari kebimbangan yang dilontarkan pasukan dan berharap akan ada perbincangan dilakukan dengan kerajaan negeri untuk mencapai situasi menang-menang berhubung kos penyelenggaraan itu.
"Saya tidak boleh komen lanjut kerana saya tidak terlibat dalam rundingan dan tidak tahu butiran lanjut tentang perkara ini.
"Kami tahu kelab tidak ada kuasa membuat keputusan untuk stadium di setiap negeri.
"Kami harap di antara kelab dan juga peringkat kerajaan negeri boleh bekerjasama merealisasikan perkara ini kerana ia akan dapat mengubah corak permainan dan juga mutu liga itu sendiri," katanya lagi.
Kredit: Sinar Harian
Comments