Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru.
Pelantikan Pompili Rossi melengkapkan carta organisasi MFL menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam, yang telah tamat kontrak bersama MFL pada 31 Ogos lalu.
Menurut MFL, keputusan pelantikan itu telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat pada 4 September lalu, sekali gus menyaksikan Pompili Rossi adalah individu dari luar negara pertama dilantik sebagai CEO MFL.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata keputusan melantik Pompili Rossi dibuat berdasarkan pengalaman yang ada padanya dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.
Dia memulakan kerjayanya pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum menyertai LaLiga pada 2017.
Pompili Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021, di mana dia memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol itu dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol dalam kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Selepas itu, Pompili Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand dan berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sebelum dilantik CEO MFL.
“Kami di MFL mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan menaruh kepercayaan dengan kebolehan serta kepakaran beliau untuk menjalankan tugas selaku CEO yang baharu di sini. Beliau akan memulakan tugas apabila selesai urusan proses mendapatkan visa dalam masa terdekat ini.
“Pengalaman dan pengetahuan Pompili Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL, khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia,” kata Ab Ghani.
Sementara itu, Ab Ghani turut memberikan penghargaan kepada Stuart atas sumbangannya selama tiga tahun menerajui sekretariat MFL.
Komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu membolehkan MFL melakukan banyak perubahan, khususnya dalam penstrukturan semula Liga Malaysia, penggunaan VAR dan peningkatan nilai komersial Liga Malaysia.
Comments