top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

Liga Super : Natxo Insa Dijangka Kembali Perkuat JDT


Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat sedikit tempang menjelang perlawanan menentang Sabah esok susulan kecederaan beberapa pemain utama. Di sebalik berita berkenaan, penyokong Harimau Selatan boleh menghela nafas lega apabila Natxo Insa bakal kembali memperkuat pasukan.


Natxo sebelum ini berehat panjang selepas mengalami kecederaan belakang. Begitupun, jurulatih JDT, Esteban Solari tidak memberi sebarang jangka masa bila bekas pemain Eibar itu akan kembali membarisi pasukan.


Selain Natxo, beberapa pemain juga tidak akan membuat penampilan menentang skuad Badak esok. Antara nama yang terpaksa diketepikan ialah Arif Aiman Hanapi, Endrick dos Santos dan Bergson da Silva.



“Walaupun skuad ini secara amnya berada dalam keadaan yang baik, terdapat beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya dan masih menjalani pemulihan.


“Natxo Insa hampir kembali selepas beberapa bulan tidak beraksi akibat kecederaan belakang manakala Bergson Da Silva masih belum cergas sepenuhnya setelah terlepas tiga perlawanan yang terakhir.


“Arif Aiman ​​Hanapi dan Endrick Dos Santos juga tidak 100% cergas dan masih menjalani pemulihan dan latihan ringan,” katanya dalam satu perkongsian di Johor Southern Tigers.


Disebabkan ketiadaan beberapa tonggak, rombakan perlu dibuat Solari bagi memberi peluang terbaik kepada Harimau Selatan mengalahkan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim esok.


Ini memberi peluang kepada pemain-pemain seperti Ramadhan Saifullah dan Akhyar Rashid merebut slot kesebelasan utama. Dengan Akhyar segar daripada dua gol bersama Harimau Malaya, pastinya bekas pemain sayap Kedah itu mahu meneruskan kecemerlangan itu di peringkat Liga Super.

11 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page