Nafuzi Zain boleh menjadi jurulatih Liga Super pertama melakar kemenangan hatrik musim ini sekiranya Kedah Darul Aman FC berjaya mengatasi PDRM FC di Stadium Darul Aman, malam ini.
Pengendali berusia 44 tahun itu yang menyertai skuad Sang Kenari musim ini sudah menikmati dua kemenangan awal dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Perak FC 4-1 dan mengatasi bekas pasukannya, Terengganu FC 1-0.
Selain itu, kemenangan ke atas PDRM juga bakal membolehkan Kedah merasai nikmat berada di puncak Liga Super untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 jam. Selepas itu, skuad Hijau Kuning perlu menunggu keputusan perlawanan antara Selangor FC dan Sri Pahang FC yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang esok.
Sekiranya anak buah Nafuzi Zain menang dan Selangor gagal meraih tiga, Kedah akan kekal di kedudukan teratas lebih lama sehingga dua lagi pasukan kelompok empat teratas, Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) turun beraksi untuk perlawanan ketiga liga, Isnin ini.
Ketika ini, Sabah memimpin saingan Liga Super selepas mengharungi dua perlawanan, berkongsi enam mata bersama Selangor, JDT dan Kedah.
Berdasarkan kekuatan dan prestasi semasa, Sang Keanri dilihat tidak berdepan masalah untuk menjinakkan PDRM apatah lagi akan bertarung di 'sarang' sendiri.
Kejayaan menundukkan Perak 4-1 dan TFC 1-0 dalam dua perlawanan awal pasti menambah keyakinan buat Nafuzi yang kali pertama membimbing KDA.
Malah, juara dua kali Liga Super itu pasti akan tampil dengan corak permainan lebih baik selepas Nafuzi dilihat berjaya mengesan beberapa kelemahan dalam perlawanan sebelum ini.
Comentarios