top of page
  • Writer's pictureEditor

Penang FC Sekadar Seri Bertemu NSFC


Hasrat Penang FC mengutip tiga mata di laman sendiri ketika menentang Negeri Sembilan FC tidak kesampaian apabila terikat seri tanpa jaringan di Stadium Bandaraya, di sini sebentar tadi.


Kem tuan rumah tampak menguasai perlawanan dengan penyerang tunggal Hassan Saad atau lebih dikenali sebagai Soony lincah melakukan asakan demi asakan dengan sekurang-kurangnya tiga percubaan tepat ke gawang lawan namun gagal membuahkan hasil.



Pemain tengah skuad Harimau Kumbang Rahmat Makasuf turut dilihat beberapa kali berpeluang memecah benteng pertahanan lawan namun kerap melakukan kesilapan dan mudah dipatahkan anak buah K Devan.


Suasana bertukar cemas apabila penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengalami kecederaan rahang selepas bertembung dengan Rahmat pada minit ke-47 menyebabkan pemain sayap itu dilayangkan kad kuning.




Pasukan paramedik bersama sebuah ambulans turut kelihatan masuk ke tengah padang dan penjaga gol muda berusia 20 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital namun keadaannya dilaporkan stabil.



Skuad Hobin Jang Hobin cuba meningkatkan percubaan mencetak gol terutamanya melalui Casagrande pada saat-saat akhir namun dikawal rapat kapten pasukan tuan rumah, Rafel Vitor yang langsung tidak membuka ruang kepada bekas rakan sepasukannya itu.



Keputusan kekal seri sehingga perlawanan tamat dengan keputusan malam ini dilihat menghampakan penyokong skuad kendalian ketua jurulatih, Chong Yee Fatt pada aksi pertama di laman sendiri malam ini. Sumber Berita Harian

11 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page