Ketua jurulatih India, Igor Stimac seakan cuba melancarkan perang psikologi menjelang pertembungan dengan Malaysia dalam aksi sulung Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.
Pengendali berusia 56 tahun itu menyifatkan Harimau Malaya yang berada di ranking lebih rendah berbanding pasukannya memiliki kelebihan beraksi di halaman sendiri.
Beliau bagaimanapun menegaskan India yang menghuni ranking 102 dunia hadir ke gelanggang keramat Harimau Malaya untuk mencipta kejutan ke atas skuad kendalian Kim Pan Gon.
"Kami membuat analisis permainan Malaysia termasuk ketika menentang China, mereka bermain dengan bagus dan kali ini mereka akan mendapat sokongan daripada penyokong sendiri.
"Saya boleh katakan peluang lebih memihak kepada Malaysia kerana perlawanan itu akan berlangsung di gelanggang mereka. Anda tidak boleh tewas di tempat sendiri, tetapi kami ke sini untuk kejutkan anda," katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Aksi Malaysia dan India menjadi medan perebutan slot ke final dengan Tajikistan sudah mengesahkan tempat di pentas akhir susulan penarikan diri Palestin pada saat akhir.
Selain itu, Stimac menjelaskan bahawa pasukannya hadir ke Pestabola Merdeka 2023 tanpa beberapa pemain utama susulan masalah kecederaan.
Namun, beliau tetap meletakkan harapan tinggi buat skuad The Blue Tigers untuk mencipta keputusan positif dengan sasaran untuk melangkah ke final dan menjulang trofi Pestabola Merdeka.
"Kami sangat gembira menyertai Pestabola Merdeka dan kami tahu bagaimana sejarah kejohanan ini. Harapan saya sentiasa tinggi, saya mahu semua pemain memberikan segala-galanya di atas pada apabila menyarung jersi skuad kebangsaan," katanya. Sumber Artikel Berita Harian Online
コメント