top of page
Writer's pictureEditor

PIALA FA 2024: JOHOR UMUM CUTI PERISTIWA 25 OGOS INI – ONN HAFIZ


Johor mengumumkan 25 Ogos ini sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri ini sebagai tanda penghargaan buat ‘Pemain ke-12’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA 2024.


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.



Katanya berharap penyokong JDT akan turut bersama-sama memberikan sokongan terhadap Harimau Selatan pada aksi Final Piala FA antara penyandang juara, JDT menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.


“Dengan perkenan Tunku Mahkota Ismail, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 25 Ogos 2024, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor sebagai tanda penghargaan buat ‘Pemain ke-12’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA 2024.


“Marilah kita ramai-ramai turun bersama membanjiri stadium Bukit Jalil hari Sabtu ini dan memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT yang kita sayangi dalam mempertahankan kemenangan Piala FA 2024 ini. Sama-samalah kita doakan.


“Dengan prestasi membanggakan dan kesungguhan yang ditunjukkan pasukan JDT, saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk datang beramai-ramai bagi sama-sama memberi sorakan dan semangat sebagai ‘Pemain ke-12” JDT. Kita penuhkan lautan Merah Biru di Stadium Nasional Bukit Jalil.


“JDT telah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2016 dan dua kali berturut-turut pada tahun 2022 dan 2023. Insya-Allah Bangsa Johor, ayuh kita pastikan tahun ini JDT mempertahankan kejuaraan untuk mencipta rekod hatrik kemenangan Piala FA!” katanya dalam hantaran di media sosial Facebook di sini hari ini.


JDT mara ke Final selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC pada aksi separuh akhir manakala Selangor FC, singkirkan Terengganu.




15 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page