Aksi pusingan 16 terbaik Piala FA membabitkan KL City dan Imigresen menyaksikan City Boys mencatat kemenangan 2-0 ke atas pelawat. Dan bagi jurulatih mereka, Bojan Hodak, kemenangan ketiga dalam semua kejohanan itu dilihat memberi keyakinan kepada anak-anak buahnya untuk mendepani Kedah dalam aksi Liga Super seterusnya pada 18 April ini.
Selepas berdepan kemarau enam perlawanan liga tanpa kemenangan sebelum ini, City Boys berjaya mencipta dua kemenangan ke atas Sabah dan Perak. Walaupun Imigresen berstatus kelab Liga M3, kemenangan yang diraih semalam amat membantu KL City dari segi keyakinan pemain.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini merupakan perlawanan paling sukar yang kami perlu harungi. Kita tidak boleh memotivasikan pemain bila berdepan pasukan dari divisyen bawah (Imigresen).
“Kami tidak bermula dengan baik dan hanya bermain dengan bagus selepas 30, 35 minit. Pada akhirnya, kita menang dan mereka (Imigresen) tidak dapat mencipta sebarang peluang.
“Kita mendapat satu lagi rekod tanpa bolos dengan pertahanan merupakan aspek terbaik perlawanan hari ini (semalam). Dan dalam tiga perlawanan, kita menang dan tidak dibolosi berturut-turut. Jadi, itu memberi keyakinan kepada kami untuk perlawanan seterusnya menentang Kedah,” katanya kepada Astro Arena.
Kemenangan ini dilihat pencapaian lebih baik buat City Boys selepas terkandas di pusingan sama Piala FA pada tahun lepas. KL City bakal menanti Sabah atau Kelantan United sebagai lawan mereka di suku akhir.
Selepas ini, City Boys bakal bertandang ke tempat lawan menentang Kedah pada 18 April ini. Dengan tiga kemenangan dalam tangan, Bojan pastinya mahu anak-anak buahnya meneruskan rekod kemenangan mereka ke atas Kenari. Sumber Artikel : MakanBola
Comments