Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke separuh akhir apabila mudah menewaskan Penang FC 5-0 pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Lawan skuad Harimau Selatan di separuh akhir adalah Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Jun selepas pasukan itu berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC 4-2 pada aksi di Stadium Paroi, kelmarin.
Pada perlawanan itu, pengendali JDT, Esteban Solari melakukan rombakan kecil apabila merehatkan Bergson Da Silva dan mempertaruhkan Diogo Luis Santo mengemudi jentera serangan dan Shane Lowry kembali dalam kesebelasan utama manakala penjaga gol Farizal Marlias beraksi menjaga gawang JDT.
Deretan serangan JDT hampir merungkai jaringan pada minit ke-18 selepas bola rembatan deras Juan Muniz dari luar kotak penalti sempat ditepis penjaga gol Azraf Arif Mohd Sukri namun rembatan susulan Fernando Forestieri gagal merobek gawang skuad Harimau Kumbang. Selepas kerap memberi tekanan terhadap benteng pelawat, akhirnya gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-32 berpunca daripada bola sepakan lintang Corbin Ong ditanduk Forestieri tapi terkena palang gol dan Diogo yang memberi tekanan menyebabkan Ousmane Fane tertendang bola masuk ke gawang sendiri.
Skuad Harimau Selatan bagaikan melenyapkan sisa perjuangan skuad kendalian Manzoor Azwira And Wahid selepas mencipta gol kedua pada minit ke-38 berpunca daripada bola sepakan lintang Muniz yang menyaksikan Lowry menanduk bola tepat kepada kapten Jordi Amat merembat kencang menewaskan Azraf Arif.
Sememangnya bukan rezeki buat Forestieri untuk mencetak nama selaku penjaring ketika aksi berbaki seminit mengakhiri babak pertama selepas bola rembatan deras di luar kotak penalti berpunca daripada umpanan Diogo hanya singgah palang gol. Bersambung babak kedua, JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-47 selepas pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli mengesan bola rembatan Muniz terkena tangan pertahanan Penang FC.
Arif Aiman Hanapi yang mengambil sepakan penalti mudah merembat kencang di sebelah kanan gol pada minit ke-49 menewaskan Azraf Arif untuk meletak skuad Harimau Selatan selesa dengan jaringan 3-0.
JDT jelas mendominasi permainan dan langsung tidak beri muka kepada Penang FC apabila menambah gol keempat pada minit ke-58 selepas Muniz yang sempat merampas bola dari kaki pemain lawan bertindak mengumpan bola ke belakang bagi Corbin merembat bola leret menewaskan Azraf Arif.
Memasuki minit akhir perlawanan berpunca daripada bola umpanan Muniz menyaksikan pemain gantian Syafiq Ahmad melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kiri untuk melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 menewaskan Penang FC.
Comments