Kelibat pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula nyata menggerunkan Terengganu FC menjelang pertemuan Piala FA menentang Melaka FC di pusingan 16 pasukan terbaik pada malam esok.
Status Melaka FC sebagai pasukan Liga M3 tidak seharusnya dipandang ringan oleh barisan anak buah Tomislav Steinbruckner, dan bagi pemain pertahanan, Azmi Azam Murad kelibat pemain naturalisasi itu mampu membuatkan skuad Penyu mengakhiri dengan kehampaan.
Walaupun Terengganu FC beraksi di ‘kasta’ saingan yang lebih tinggi, Azmi bertanggapan rakan sepasukannya yang lain wajar menghormati pasukan lawan kerana kehadiran pemain dari Brazil itu.
“Atas kertas pastinya penggiat sukan bola sepak memilih TFC untuk mara ke pusingan seterusnya, tapi sejujurnya dalam sukan ini kejutan adalah perkara lumrah dan ianya kerap terjadi jika tidak berwaspada.
“Lagipun lawan pastinya hadir dengan keazaman untuk melakukan kejutan lebih-lebih lagi skuad itu mempunyai penyerang naturalisasi negara, De Paula, jadi kita harus waspada dengan taktikal lawan dan perlu ‘merantai’ pergerakan penyerang itu.
“Saya percaya jika rakan sepasukan beraksi mengikut perancangan jurulatih, pastinya kami tidak tersungkur lebih-lebih lagi bakal beraksi di depan ribuan peminat setia,” jelas Murad seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada hari ini.
Berdasarkan prestasi semasa, Terengganu sepatutnya tidak berhadapan masalah melakar laluan ke suku akhir Piala FA pada musim ini.
Naib juara Piala FA pada musim lalu itu kini telah melakar tiga kemenangan berturut-turut – menjadikan Kelantan United, Kelantan FC dan Kuching Citty sebagai mangsa – selepas permulaan agak perlahan pada awal musim.
Melaka FC pula kini menduduki kedudukan ke-7 selepas tiga perlawanan pada musim ini dengan kutipan 4 mata selepas satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Untuk memastikan kejayaan milik Terengganu FC dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok, Steinbruckner menuntut anak buahnya meledak jaringan seawal mungkin selain kekal fokus sepanjang perlawanan.
“Sebarang kealpaan bakal mengundang padah kerana lawan pasti mahu melakukan kejutan selain kita tidak tahu kekuatan sebenar pasukan itu.
“Jadi saya harapkan pemain tidak mengambil mudah sebaliknya kekal waspada,” kata pengendali kelahiran Croatia itu yang tidak dapat menurunkan dua tonggak, Sardor Kulmatov dan Mohd Faiz Nasir akibat kecederaan,” kata jurulatih berasal dari Croatia itu. Sumber : Harian Metro
Comments