Lapan pasukan pilihan menepati ramalan mara ke suku akhir saingan Piala FA 2023 selepas menewaskan lawan masing-masing dengan jaringan tanpa balas .
JDT vs PDRM FC
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan pasukan tuan rumah, yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), meraih kemenangan 3-0 ke atas PDRM FC dengan kesemua jaringan itu dihasilkan dalam babak pertama.
KUCHING CITY FC vs PENANG FC
Penang FC mara setelah menewaskan Kuching City FC 4-0 dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching.
Soony Saad, terlebih dulu meletakkan pasukan pelawat di depan hasil jaringan Soony Saat minit ke-10 untuk memimpin perlawanan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua Harimau Kubang meningkat tekanan apabila tiga gol lagi terhasil menerusi jaringan Rafael Victor minit ke-48.
Hadin Azman dan Giovanni Gomes masing-masing turut menyumbang gol pada minit ke-65 diikuti minit ke-95.
Kemenangan itu menyaksikan Penang bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas lapan terbaik.
TERENGGANU FC vs MELAKA FC
Aksi di Kuala Terengganu pula menyaksikan naib juara musim lalu, Terengganu FC, turut berpesta jaringan 4-0 ke atas Melaka FC.
Ivan Mamut memastikan kelebihan awal tuan rumah pada minit kelima sebelum Hakim Abdullah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-71.
Jordan Mintah kemudian menambah dua gol lagi menuju ke penghujung aksi, masing-masing pada minit ke-82 dan 93.
MANJUNG FC vs TRW KELANTAN FC
Di Manjung, Kelantan FC menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan dengan menjadikan Manjung City FC sebagai mangsa.
Mario Arques muncul penjaring tunggal dalam babak pertama menerusi golnya pada minit ke-33 sebelum Nuha Marong menjaringkan gol berganda buat The Red Warriors pada minit ke-60 dan 90.
KUALA LUMPUR CITY FC vs IMIGRESEN FC
Kuala Lumpur (KL) City melangkah ke suku akhir Piala FA apabila mengatasi pasukan Liga M3, Imigresen FC 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.
Walaupun turun dengan status pasukan pilihan, skuad City Boys bagaimanapun terpaksa menunggu hingga masa kecederaan babak pertama untuk berada di depan menerusi jaringan T Saravanan.
Malah, anak buah Bojan Hodak turut dipaksa bekerja keras pada babak kedua oleh pasukan dari liga separuh profesional itu sebelum Romel Morales meledak gol kedua pada minit ke-83 untuk mengesahkan kemaraan KL City.
SELANGOR FC vd SRI PAHANG FC
Selangor melangkah bergaya ke suku akhir Piala FA apabila membelasah Sri Pahang 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Malam gemilang Gergasi Merah bermula pada minit ke-41 apabila Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya membuka tirai jaringan selepas rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu kemudian menambah gol kedua pada minit ke-59 menerusi satu rembatan menarik selepas menerima umpanan Quentin Cheng.
Pintu gol Sri Pahang bolos lagi pada minit ke-67 dan kali ini giliran Faisal Halim pula mencetak nama selaku penjaring sebelum Brendan Gan melengkapkan kemenangan bergaya Selangor apabila meledak gol keempat Gergasi Merah, lima minit kemudian.
N.SEMBILAN FC vs PIB FC Status pasukan Liga Super jelas dapat diperagakan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila berjaya menewaskan PIB FC 2-0, dalam aksi Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Kemenangan itu membawa skuad Hobin Jang Hobin melangkah ke saingan suku akhir dan bakal bertemu Selangor FC.
Begitupun kemaraan Negeri Sembilan ke peringkat lapan pasukan terbaik itu tidak dilalui dengan mudah apabila pasukan bimbingan K Devan menerima tentangan hebat daripada PIB dibimbing Yusrizal Yusoff.
SABAH FC vs KELANTAN UNITED
Sabah FC menempah tiket ke suku akhir Piala FA 2023 selepas mengalahkan Kelantan United FC 2 - 0 dalam perlawanan Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas.
Dua gol skuad Sang Badak itu masing-masing dijaringkan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-59.
Sumber Info: Berita Harian, Stadium Astro, Harian Metro, VocketFC, MakanBola
Comments